Abu Kassim Mohamed  
Abu Kassim Mohamed


KUALA LUMPUR - [VIDEO] "Rasuah berpunca daripada sikap tamak," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkenaan punca berlakunya rasuah di negara ini.

Abu Kassim berkata, adalah salah sekiranya berpandangan stereotaip iaitu gejala rasuah hanya dilakukan oleh sesetengah bangsa sahaja.

"Rasuah adalah disebabkan sikap tamak, ia tidak mengenal siapa. Sesiapa pun yang memiliki sifat tamak akan melakukannya.

"Ianya tiada kaitan dengan bangsa dan agama seseorang," katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Amalan Kredibiliti Masyarakat Berintegriti di Institut Integriti Malaysia hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abu Kassim menambah bagi memastikan amalan rasuah di negara ini dapat diatasi, semua pihak harus menanam impian yang sama ,serta bergerak dalam satu pasukan.

"Kita perlu mempunyai impian yang sama (berkenaan membasmi rasuah), walaupun kita tidur berlainan bantal tetapi mimpi dan impian kita mesti sama.

"Iaitu ingin membanteras rasuah, oleh itu semua perlu main peranan, kalau ada rasuah segera laporkan kepada SPRM," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Datuk David Chua Kok Tee, serta beberapa NGO Pertubuhan Cina antaranya Young Buddhist Association of Malaysia.

Dalam majlis tersebut, satu majlis menandatangani ikrar integriti korporat turut dilakukan.