Ulama Pas sokong Muhyiddin Hassan (duduk, tengah) ketika sidang media di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas Kelantan menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya ditubuhkan sebuah jawatan kuasa di peringkat kebangsaan bagi meneliti isu-isu teknikal berkaitan cadangan melaksanakan  hudud di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Hassan Mohamood berkata, jika jawatan kuasa itu memang bertujuan untuk mepermudah dan melicinkan pelaksanaan hudud, ia memang disokong.

"Saya akan cadangkan kepada (kerajaan) Kelantan untuk hantar wakil menyertai jawatan kuasa itu kerana pada zahirnya, ia memudahkan pelaksanaan hudud. Dewan Ulama tidak ada masalah, kami sokong,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin ketika lawatannya ke negeri ini mencadangkan penubuhan sebuah jawatan kuasa untuk meneliti dan memperhalusi  pelaksanaan hudud selain mengambil kira aspek perundangan.

Hassan berkata, dari aspek prinsip dan teknikal, Kelantan sudah bersedia untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Umno dalam urusan itu, beliau menyatakan bahawa Pas sedia untuk bersama dengan parti itu memberikan penjelasan mengenai hudud kepada orang ramai.

“Saya yakin pelaksanaan hudud tidak merugikan mana-mana pihak mahupun Pas dan Umno tetapi ia dapat mengukuhkan lagi umat Islam di seluruh negara,” katanya.

Mengenai DAP, beliau yakin DAP dan orang bukan Islam suatu hari nanti akan turut menyokong juga Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang akan dikuatkuasakan tahun depan.

"Saya yakin mereka (DAP dan bukan Islam) akan terima  setelah diberikan penjelasan dan memahami hudud secukupnya.

 Walaupun ada pihak yang melihat DAP cuba menentang pelaksanaan hudud, bagi Hassan itu bukan masalah.

“DAP tidak menentang, itu adalah pandangan dan bukan keputusan Majlis Pakatan Rakyat yang minta kita (Pas) keluar. Itu tidak ada masalah,” katanya mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke yang menggesa Pas keluar secara terhormat daripada Pakatan Rakyat (PR) jika mahu meneruskan cadangan melaksanakan hudud di Kelantan.

Hassan ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bagi menganjurkan Majlis Penerangan dan Penjelasan Kanun Jenayah Syariah II Peringkat Kelantan yang akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, esok.

Beliau menjelaskan, pimpinan Pas Pusat sudah membuat rangka  penjelasan bukan sahaja kepada DAP, tetapi juga NGO bukan Islam, MCA, MIC  selain umat Islam sendiri untuk lebih memahami pelaksanaannya.