Syabas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)


KUALA LUMPUR - Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) hari ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri Selangor adalah pihak yang membuat keputusan sama ada meneruskan atau menghentikan catuan air di negeri itu.
  
Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred Dharan dalam satu kenyataan berkata sehingga hari ini, pihaknya sebagai pengagih bekalan air masih belum menerima sebarang keputusan pelan catuan tersebut.
  
"Pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat sehingga kini masih diteruskan seperti yang dirancang," katanya.
  
Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan pengemaskinian maklumat perjalanan catuan harian melalui laman web Syabas www.syabas.com.my, laman sosial Facebook dan Twitter Syabas.
  
Sementara itu, Priscilla berkata penyaluran bekalan air yang terjejas di zon 1 wilayah Petaling semalam disebabkan kejadian paip pecah di Taman Gembira, Jalan Klang Lama.
  
Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan paip sedang dijalankan dan bekalan air akan disalurkan sebaik sahaja kerja pembaikan selesai manakala tempoh penyaluran akan dipanjangkan sedikit dari jadual asal. - Bernama