MALAYSIAKINI
Bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata beliau
berasa gembira dan hatinya cukup tenang susulan perkembangan semasa
berkaitan undang-undang hudud di negeri itu.
“Saya amat gembira perkembangan semasa berkaitan hudud sekarang. Saya
tidak mahu sentuh banyak soal teknikal kerana ia di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri.
“Cuma
saya sentuh soal dasar sahaja. Alhamdulillah hati saya cukup tenang
sehari dua ni... Banyak berita baik yang saya terima dan Insya-Allah,
masyarakat juga menerima dengan baik,” katanya seperti dilapor Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima
kunjungan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Datuk Dr Asraf
Wajdi Dasuki di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.
Kunjungan itu dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin menziarahi mursyidul am PAS itu di rumahnya di Pulau Melaka
kelmarin.
Laporan portal berita PAS itu juga menyebut Nik Aziz berkata perdana
menteri dahulu begitu bersungguh-sungguh menentang pelaksanaan hudud di
pantai timur itu, apabila Dr Mahathir Mohamad ketika itu menghantar
surat amaran kepada beliau.
Surat itu antara lain menyatakan kerajaan pusat tidak dapat membenarkan
kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan
Islam dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi
menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam.
“Saya amat bimbang kalau-kalau akan berlakunya Mageran sebab itu saya
tidak melaksanakannya selepas menerima surat amaran daripada Perdana
Menteri,” katanya.
Laporan itu turut menyebut, Nik Aziz juga menyokong cadangan mewujudkan
jawatankuasa teknikal melibatkan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang
perundangan Islam dan ia turut disokong Dewan Ulama PAS Kelantan.
Sementara itu, dalam laporan yang sama, Dr Asraf Wajdi yang ditemui
berkata, tidak salah Kelantan menjadi negeri perintis pelaksanaan Kanun
Jenayah Syariah II ketika kerajaan BN yang didakwanya lebih terbuka
sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan