PUTRAJAYA - Amerika akan terus menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan dalam penyiasatan dan misi mencari MH370 yang hilang, kata Presiden Barack Obama.
Pemimpin Amerika itu berkata sejak berlakunya tragedi itu, pihak berkuasa Amerika bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia dan beliau pula sentiasa berbincang dengan pasukan dari negaranya tentang perkara itu.
"Sejak berlakunya tragedi ini, kami bekerjasama rapat dengan rakan kami dari Malaysia dan kami akan terus memberi segala bantuan yang termampu dalam urusan penyiasatan dan usaha mencari pesawat itu.
"Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa Amerika benar-benar komited dalam membekalkan (apa sahaja) sumber dan aset yang kami mampu, manakala Kerajaan Malaysia pula amat mengalu-alukannya," kata beliau dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di sini hari ini.
Beliau juga mengaku misi mencari pesawat itu amat mencabar serta sukar dan mengambil masa yang lama.
Obama, yang sedang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, berkata terdahulu, dalam mesyuaratnya dengan Najib, mereka berbincang tentang pengajaran yang boleh diambil daripada tragedi tersebut dan bagaimana semua negara boleh bekerjasama dalam usaha mencari selanjutnya.
Amerika adalah antara negara paling awal menyertai operasi mencari pesawat yang sepatutnya mendarat di Beijing itu apabila ia hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada awal pagi 8 Mac.
Operasi mencarinya yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan di Laut China Selatan dan kini pencarian ditumpukan di selatan Lautan Hindi, lokasi terakhir penerbangan itu dikesan sebelum isyaratnya hilang sama sekali.
Sehingga kini, bukti berkaitan pesawat malang itu belum dijumpai. Obama juga menyampaikan ucapan takziah rakyat Amerika kepada keluarga mereka yang hilang bersama pesawat itu.
"Saya amat memahami keadaan yang dialami keluarga terbabit, mereka mahukan jawapan dan (apa) yang paling penting (adalah) seperti yang saya nyatakan kepada Perdana Menteri Najib iaitu ketelusan sepenuhnya, mengenai apa yang kita tahudan apa yang kita tidak tahu, bagaimana prosesnya berjalan," kata beliau.
Terdahulu, Najib merakamkan penghargaan Malaysia atas bantuan Amerika dalam menghadapi tragedi itu.
"Sejak dua bulan lepas, kekukuhan persahabatan antara kami didedahkan untuk pengetahuan semua, sejak hari hilangnya MH370. Amerika menghulurkan kepakaran mendalamnya dari segi penyiasatan serta kemampuan dan aset uniknya dalam usaha mencari.
"Kami amat berterima kasih kepada Tuan kerana sanggup bersama Malaysia ketika kami berdepan dengan kesusahan," kata Najib. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan