Sobri Othman, Mustafa Sobri, Mustaffa


ALOR SETAR - Pelaksanaan hudud perlu berpandukan kepada kitab ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar diguna pakai seluruh dunia.

Pengerusi Yayasan Pondok 1Malaysia cawangan Kedah, Sobri Othman berkata, proses penguatkuasaan undang-undang berkenaan bukan mudah kerana memerlukan penelitian dan kajian terperinci untuk mengelakkan kekeliruan pada masa depan.

Beliau menyokong usaha Pas mahu melaksanakan hudud tetapi dengan syarat ia perlu merujuk sepenuhnya kepada kitab yang muktabar.

“Mahu jatuhkan hukuman bukan mudah, jika silap jatuh hukum kita sendiri kena tanggung akibatnya,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menggesa semua pihak menghormati hak demokratik Pas untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen, bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Sobri berkata, alim ulama termasuk dalam kalangan Pas dan Umno perlu bersemuka berbincang secara terperinci terlebih dahulu sebelum usul berkenaan dibentangkan.

“Pelaksanaan perlu melihat kesesuaian dengan keadaan di negara ini yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Ia perlu dilaksanakan dengan baik.

“Penerangan jelas mengenai kaedah pelaksanaan hudud perlu dilakukan terutama kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka menerima keputusan itu dengan terbuka,” katanya.

“Kita tidak boleh mengetepikan pandangan bukan Islam dalam soal ini kerana mereka ada hak mengundi justeru berhak bersuara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi II Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, masyarakat Islam perlu lebih terbuka menyokong pelaksanaan hudud.

“Hudud wajar dilaksanakan kerana dituntut Islam. Jika kita menolak cadangan itu termasuk memperlekeh, mencerca dan menghina hukum ALLAH ia sudah menyimpang dari akidah sebagai seorang Muslim,” katanya.