HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 April 2014

Militan Sekali Lagi Cuba Ceroboh Perairan Semporna

alt
 


LAHAD DATU - Sekumpulan penculik dari selatan Filipina yang cuba memasuki negara ini melalui perairan Semporna dikatakan terpaksa mengubah haluan ke perairan negara jiran di utara Sabah selepas gagal menembusi kawalan ketat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Mohammad Mentek berkata, mereka bertindak melakukan jenayah penculikan di negara mereka sendiri iaitu di kawasan perairan antara Pulau Cagayan dan Pulau Palawan.

"Berdasarkan maklum balas bahagian risikan, kumpulan penjenayah yang menggunakan kapal layar tersebut berjaya menculik dua pelancong asing di situ minggu lepas.

"Saya telah mengarahkan anggota pasukan keselamatan di ESSZone yang membabitkan 10 daerah dari Kudat hingga Tawau supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita memandang serius kes cubaan masuk kumpulan penculik yang terbaharu ini melalui perairan Semporna. Kita tidak mahu kes penculikan di Singamata Resort pada 2 April lepas berulang.

"Semua pasukan keselamatan ESSCom diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sepanjang perairan pantai timur Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Mohammad berkata pihak berkuasa keselamatan Filipina kini menghampiri lokasi dua wanita yang diculik di Singamata Reef Resort disembunyikan dan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan mereka.

Katanya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan sihat.

"Pihak keselamatan Filipina sedang menghampiri kawasan di mana mangsa culik disembunyikan dan sedang berusaha menyelamatkan mereka tanpa dicederakan.

"Pegawai ESSCom juga pergi ke sana hingga ke kepulauan Jolo dan pegawai kita telah berbincang dengan bahagian risikian Filipina untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas risikan, warga China itu Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dibenarkan hampir setiap hari membuat panggilan telefon kepada anggota keluarganya.

Pelancong China itu dan pekerja resort tersebut warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 April lepas dan meminta wang tebusan.

Tiada ulasan: