Abdul Rahman Othman Abdul Rahman Othman


KUANTAN - Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman mencadangkan Pejabat Peguam Negara mengambil inisiatif melaksanakan muzakarah khas bagi membincangkan isu pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Menurutnya, Pejabat Peguam Negara boleh menjemput mufti, pensyarah dan agensi-agensi yang bakal melaksanakannya termasuk jabatan agama Islam negeri bagi membincangkan perkara berkenaan supaya ia lebih jelas dan meliputi semua aspek.

“Hudud hukum ALLAH yang kita alu-alukan pelaksanaannya dan sudah tentu semua pihak berkaitan bersedia membantu supaya ia dapat direalisasikan.

“Kita mungkin juga panggil wakil parti Pas bersama-sama dalam muzakarah itu memandangkan mereka bercadang untuk melaksanakan hudud di Kelantan,” katanya, semalam.

Abdul Rahman berkata, pada masa sama pandangan majlis agama setiap negeri yang diketuai sultan atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak beraja perlu diambil kira sebelum sebarang undang-undang dipinda atau dibentuk bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

"Segala persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud harus dibuat  rapi dan teliti supaya ramai pihak tidak keliru apabila dilaksanakan nanti.

“Sebab itu perlu ada perbincangan khas dan diwujudkan jawatankuasa teknikal khas bagi membincangkan hukum hudud,” katanya.