HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 April 2014

'Proton lumpuh jika tak lindung industri automotif'

MALAYSIAKINI


Industri automotif tempatan terutamanya Proton Holdings Berhad (Proton) boleh lumpuh sekiranya Malaysia tidak mengambil langkah melindungi industri berkenaan sebagaimana Amerika Syarikat (AS) melindungi kacang soyanya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Beliau berkata, Proton pada hari ini menghadapi persaingan yang amat hebat kerana hampir setiap hari jenama kereta import mengeluarkan model baru.
  
"Mereka ini (syarikat-syarikat luar negara) jual kereta di Malaysia, rugi pun tidak mengapa kerana di tempat lain mereka boleh untung. Malaysia masih kecil dan kita perlukan perlindungan untuk industri tempatan kita," katanya.
  
Mahathir berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Dewan Negara pada hari Isnin bahawa Proton mengalami sedikit kemerosotan.
  
Mustapa disebut sebagai berkata trend pengeksportan model kereta Proton mencatatkan penurunan dari tahun ke tahun.
  
Pada tahun 2011, syarikat pengeluar kereta nasional itu mengeksport 16,189 unit, 13,311 unit (2012) dan susut tahun lepas kepada hanya 5,937 unit.
  
Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan buku A UN Chronicle di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di ibunegara hari ini.
  
Jelas beliau, Malaysia mengamalkan dasar yang terbuka dan "sesiapa sahaja hendak masuk, mereka boleh masuk".
  
"Dasar Malaysia sekarang pula tidak hanya tertumpu kepada pembangunan industri tempatan sebaliknya mengutamakan konsumer (pengguna).
  
"Pengguna tidak peduli apa jadi pada negara, mereka hanya hendak harga yang murah dan barangan terbaik. Jadi sebab itu kita (Proton)) dapati sekarang sukar bagi Proton untuk bertanding terutamanya dengan Perodua," katanya.
  
"Perodua tidak keluarkan kereta tempatan tetapi kereta Jepun yang dipasang di Malaysia. Sebaliknya Proton dari A to Z, semuanya di Malaysia bagi tujuan membangunkan industri tempatan," katanya.
  
"Konsumer tidak peduli kalau industri automatif tempatan mati atau 250,000 orang menderita. Konsumer hanya tahu jenama terkenal dan jenama asing. Dengan itu kita sukar untuk melawan. Namun demikian kita akan terus mencubaba juga," kata Dr Mahathir.- Bernama

Tiada ulasan: