HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 April 2014

PAS jangan celupar bila Umno sokong hudud, kata Perkasa

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

 
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan pemimpin PAS agar jangan mudah mencemuh pemimpin Umno yang menyatakan sokongan terhadap hudud.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (gambar) berkata, PAS harus sedar bahawa usul membawa rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen bukan satu jalan yang mudah maka ia perlu dihiasi dengan rasa tawaduk.

"Saya nasihatkan sebahagian pemimpin PAS supaya lebih istiqamah, menjaga mulut jangan celupar daripada mengeluarkan kenyataan putar belit untuk mencari keuntungan politik mengenai hudud.

"Dahulu bila Umno tidak menyokong hudud, pemimpin PAS menyerang dengan menuduh Umno tidak Islam dan menolak hukum Allah tetapi bila menyokong dituduh pula memecah belahkan Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS, Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata pada Jumaat, sokongan Umno terhadap pelaksanaan hudud hanyalah taktik untuk menarik undi orang Melayu dan sebagai helah memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Katanya, biarpun PAS mendapat sokongan daripada Umno untuk melaksanakan hudud di Kelantan, namun ia tidak akan mengubah hala taju parti untuk bersama DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang.

"Kita tahu Umno hendak memecahbelahkan pakatan pembangkang tetapi kita akan buat segala persediaan dan kami yakin PAS hanya hendak melaksanakan hudud di negeri ini," katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Ibrahim berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS sedemikian melambangkan sikap hipokrit dan rakus dalam berpolitik.

Katanya, ini mengesahkan selama ini PAS bukan memperjuangkan Islam tetapi parti politik yang terhimpunnya puak mencari makan melalui penjualan Islam sebagai modal politik.

"Ada yang balik dari Timur Tengah atau yang belajar di dalam negeri, tidak ada keupayaan lain untuk mencari makan. Maka masuk PAS sehingga dapat menjadi calon dan dapatlah imbuhan mencari makan.

"Rakyat tidak dipedulikan. Bila terhimpit, Islamlah perisainya. Amat tepat Tok Guru mohon maaf kepada rakyat Kelantan," katanya.

Ibrahim berkata parti politik bukan Islam perlu memberi ruang kepada PAS untuk menerangkan hudud dengan terperinci sebelum menentang membabi buta.

Katanya, harus diingat hudud adalah persoalan agama yang merupakan syariat dan akidah umat Islam maka jangan mencabar sewenang-wenangnya atau bermain dengan api.

"Beri penerangan yang menyeluruh kepada semua lapisan rakyat termasuk bukan Islam. Sediakan draf cadangan hudud supaya menepati kehendak dan tuntutan Islam.

"Saya merayu kepada pemimpin PAS, ambillah peluang sebaik-baiknya untuk memperjuangkan hukum hudud bila pemimpin Umno memberi sokongan. Jangan banyak kerenah politik," katanya.

Tiada ulasan: