MALAYSIAKINI
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin menyanjung naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid yang menurutnya berani menegur presiden AS Barack Obama kerana mengeluarkan kenyataan didakwa mencampuri urusan dalaman Malaysia.
A Kadir turut menyelar Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya berdiam diri apabila Obama membangkitkan perkara itu dalam satu sesi forum bersama kumpulan siswa dari Asia Tenggara di Universiti Malaya, Ahad lalu.
Obama ketika menjawab satu soalan di program tersebut antara lainnya berkata ada ketikanya golongan bukan Islam di Malaysia mendapati diri mereka kekurangan atau menghadapi permusuhan.
"Malaysia tidak akan berjaya sekiranya bukan Islam tidak mempunyai peluang sama seperti yang lain," kata Obama.
Obama menjawab soalan dari wakil Myanmar yang meminta nasihat beliau mengenai bagaimana cara pemimpin muda menangani masalah kepelbagaian masyarakat dalam rantau Asean.
A Kadir berkata, kenyataan Obama itu adalah perbuatan “mengenakan sumpah” ke atas Malaysia melalui tindakan “masuk campur dan menimbulkan provokasi” ke atas hal dalaman Malaysia itu.
“Syabas Dr Ahmad Zahid. Tidak sia-sia perwakilan Umno memilih anda sebagai naib presiden paling popular dalam pemilihan Umno baru lalu.
“Alhamdulillah masih ada pemuka Umno yang tidak dijangkiti sindrom koro,” katanya dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.
Wartawan veteran itu seterusnya berkata, kenyataan Obama itu lebih serius berbanding kenyataan bekas naib presiden AS Al Gore yang mengkritik pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
“Kalau Naib Presiden Al Gore, pada tahun 1998, sekadar memuji Anwar Ibrahim dan reformasi, Obama kali ini menuduh Malaysia menganaktirikan kaum minoriti dan orang bukan Islam.
“Kalaulah benar apa yang dilaporkan itu, tidakkah tindakan Obama itu berupa satu bentuk provokasi halus yang sangat mendalam dan meluas implikasi tersiratnya?...
Gembira dapat berkereta?
“Secara tidak langsung, Obama melantik diri beliau sebagai jurucakap rakyat Malaysia yang mengacum kepada beliau kononnya mereka dengan dahsyat sekali didiskriminasi oleh orang Melayu dan orang Islam,” katanya.
Tanpa menyebut nama Najib, beliau turut bertanya sekiranya isu tersebut akan dibiarkan begitu sahaja oleh golongan Melayu dan Islam kerana layanan Obama terhadap perdana menteri itu.
“Soalnya, adakah orang Melayu dan Islam hendak berdiam diri terhadap campur tangan Obama itu semata-mata kerana ada orang yang sangat gembira dapat berkereta dengan beliau atau beliau membisikkan puji-pujian ke telinga orang itu?,” soalnya.
Beliau mempersoalkan kewajaran Obama membangkitkan perkara itu kerana terdapat begitu banyak rumah ibadat bukan Islam di Malaysia.
“Apakah kaum minoriti dan orang bukan Islam di negara ini ditindas, tidak dibenarkan beribadat dan hidup papa kedana?
“Apa ceritanya dengan gereja yang berpuluh di Brickfields, Jalan Gasing dan Sentul? Apa halnya dengan kuil Hindu di merata simpang jalan, bawah pokok besar dan gua itu?
“Apa ceritanya kuil Buddha dan wat Siam, Gundwara Sikh dan tokong Cina di merata pelosok tanah air? Dan siapa yang menguasai ekonomi?,” katanya.
Merujuk kepada golongan Kristian, A Kadir seterunya membangkitkan mengenai isu penggunaan kalimah Allah dan kontroversi yang timbul daripada isu tersebut.
“Siapakah yang ditindas dan berasa tertekan? Siapa yang membuka kotak pandora dengan menuntut agar mereka juga dibenarkan mengguna kalimah Allah?," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan