HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Jun 2014

Cadbury: FOMCA gesa ujian analisa ketiga dijalankan badan bebas [TONTON VIDEO]

 Oleh Wan Anis Ilyani bt Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM : Meskipun dua produk coklat Cadbury disahkan tidak mempunyai DNA babi namun Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghantar sampel yang sama bagi tujuan analisa buat kali ketiga yang dijalankan oleh makmal bebas di luar negara.
 
Menurut Timbalan Presiden FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah, ia perlu dilakukan bagi lebih menyakinkan pengguna kerana wujud dua keputusan berbeza antara Jabatan Kimia hari ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei lalu.
 
"Kelemahan di dalam pengumuman keputusan awal atau semasa penemuan oleh KKM itu, sebelum satu analisa 'cross-check' dilakukan untuk mengatakan penemuan KKM itu adalah sesuatu yang pasti. Ini menjadikan ia semakin keruh kerana keputusan kedua adalah negatif. 
 
"Sepatutnya JAKIM perlu memberikan sampel ini kepada makmal di luar negara. Memberi sampel yang sama untuk mendapatkan kepastian oleh kerana ada dua keputusan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Muhammad Shaani mengulas pengesahan halal Cadbury Dairy Milk Roast Almond dan Cadbury Dairy Milk Hazelnut yang disahkan tidak mempunyai DNA babi sebagaimana diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir hari ini.
 
Lebih lanjut, katanya, keputusan terbaharu Jabatan Kimia tersebut barang kali disebabkan oleh amaun bahan yang dikhuatiri mempunyai unsur babi itu terlalu kecil yang berkemungkinan merumitkan proses analisa.
 
"Kita juga harus memahami sebarang analisa kimia adalah bergantung kepada banyak penggubah seperti masa, cara pensampelan dan kaedah boleh mempengaruhi keputusan.
 
"Ada masa analisa menunjukkan 'traces' iaitu tidak boleh dilaporkan dalam sesuatu unit. Jika kita faham bentuk analisa kimia, maka kita akan lebih bersedia untuk menerima bahawa ada masanya analisa menunjukkan keputusan positif atau sebaliknya
 
"Yang dicari (penyelidikan) bukanlah satu ramuan atau bahan yang tulen. Ia adalah bahan yang terhasil daripada bahan (unsur) babi. Bukan berbentuk daging atau tulang," ujarnya lagi.
 
Keputusan itu diperolehi selepas analisa yang dilakukan Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor iaitu makmal yang diakreditasi JAKIM untuk mengesan DNA babi.
 
Bagaimanapun Shaani tidak mahu golongan pengguna di negara ini terlalu bergantung kepada keputusan analisa terbaharu JAKIM kerana masih punya cacat celanya.
 
"Kita juga tidak boleh bergantung seratus peratus kepada Jabatan Kimia. Jabatan Kimia juga tidak sempurna. Apabila mereka menyertai ujian-ujian antara makmal termasuk antarabangsa, kita dapati ada masanya keputusan mereka tidak tepat. Ini bermakna Jabatan Kimia bukan satu titik rujukan yang muktamad," demikian menurutnya.
 
Selepas kontroversi status Halal JAKIM terhadap dua produk Cadbury ini dipersoal, Shaani mengingatkan agar agensi berkenaan bersikap lebih terbuka terhadap kepentingan pengguna.
 
"JAKIM tidak terlalu mengekang ruang untuk rakyat mempersoal peranan ke atas mereka. Sesiapa sahaja bebas melakukan ujian ke atas produk makanan untuk menyemak ia mematuhi sijil Halal atau tidak. Malah orang ketiga juga bebas membuat ujian sebegitu supaya kita yakin proses pensijilan Halal JAKIM mantap," ujarnya lagi.
  

1 ulasan:

Mohamad Zin berkata...

Saya cadangkan supaya persatuan pengguna islam ambil inisiatif untuk menjalankan persampelan rawak keatas semua produk coklat cadbury di pasaran. Sampel-sampel boleh diambil daripada beberapa outlet spt seven eleven /supermarket dan dianalisa dibeberapa makmal. Saya difahamkan selain jabatan kimia banyak lagi makmal yang boleh buat analisis dna babi spt teknologi park, mardi, dan upm.
Keputusan analisis yg diistiharkan jakim meragukan kerana kemungkinan batch sampel yg diambil adalah daripada bancuhan baru. Sepatutnya persampelan dikilang dibuat secara adhoc/ mengejut tanpa diberitahu awal. SOP persampelan antara lain. ... Mestilah sampel diambil oleh pegawai jakim sendiri. Keputusan anilis sampel coklat dipasaran lebih representatif kerana ia melibatkan beberapa batch pengeluaran.