SHAH ALAM : Lebih 6,000 penjaja dan peniaga kecil Melayu di negeri ini
terus tertekan dengan keputusan kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat
(PKR) yang mahu mengambil alih pengurusan pasar pagi dan malam daripada
dikendalikan oleh persatuan penduduk.
Pelbagai pihak membantah keputusan kerajaan negeri pimpinan Menteri
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dan yang terbaharu, Ahli Parlimen
Shah Alam, Khalid Abdul Samad turut tidak bersetuju dengan langkah
berkenaan.
Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, keputusan
itu tidak selari dengan usaha untuk meningkatkan penglibatan persatuan
penduduk di negeri itu dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk pengurusan
di kawasan masing-masing.
"Saya tidak setuju dengan keputusan kerajaan negeri mengambil alih
pengurusan pasar pagi dan pasar malam yang diuruskan oleh jawatankuasa
penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk
diletakkan sepenuhnya di bawah PBT," katanya kepada pemberita.
Khalid mengulas keputusan kerajaan negeri sebelum ini mengarahkan
seluruh PBT mengambil alih pengurusan pasar pagi dan malam di Selangor.
Keputusan tersebut mendapat bantahan daripada jawatankuasa penduduk
serta JKKK di beberapa kawasan di negeri itu termasuk Shah Alam.
Pada 8 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian
dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Khim menerusi laporan portal
berita kerajaan negeri, www.selangorku.com mengesahkan arahan
pengambilalihan tersebut yang dibuat secara berperingkat peringkat sejak
dikuatkuasakan pada 2012 lagi.
Menurut Chang Khim, menerusi pengambilalihan itu pengurusan tapak pasar
pagi dan malam diletakkan di bawah bidang kuasa PBT sepenuhnya termasuk
urusan kutipan sewa tapak.
Khalid berkata, hak jawatankuasa persatuan penduduk perlu dipertahankan
untuk mengutip bayaran sewa tapak pasar pagi dan malam sebagai wakil
kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang dianggotai ahli-ahli
Pas.
"Ini bukan soal duit (kutipan sewa) tetapi pengurusan pasar malam dan
pagi di bawah jawatankuasa penduduk dan JKKK adalah untuk memberi
peluang kepada mereka menguruskan kawasan masing masing yang dilihat
lebih kepada aktiviti kemasyarakatan," katanya.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil
Melayu Selangor, Hanim Mohd. Said berkata, pengambilalihan tersebut
menyebabkan mereka kini terpaksa akur dengan apa sahaja peraturan atau
syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Khalid menyatakan beliau menerima aduan daripada
beberapa jawatankuasa penduduk serta JKKK mengenai arahan berkenaan dan
telah meminta pertimbangan kerajaan negeri supaya tidak dilaksanakan.
"Bagaimanapun, setakat ini saya tidak menerima sebarang maklum balas
daripada kerajaan negeri. Saya minta kerajaan negeri supaya mengambil
alih pengurusan pasar pagi dan malam yang dikendalikan jawatankuasa
penduduk yang bermasalah sahaja, yang tidak ada masalah tidak perlu
ambil alih," jelasnya.
Pada masa sama, Khalid ketika ditanya mengenai dakwaan penglibatan ahli
Pas dalam aktiviti kutipan sewa tapak pasar pagi dan malam berkata,
perkara itu tidak ada kena mengena kerana pengurusan pasar terbabit
sebelum ini di bawah jawatankuasa penduduk dan JKKK yang mana ahlinya
mungkin terdiri daripada anggota pelbagai parti politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan