ALOR SETAR - Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul
Aman) 2013 yang diluluskan Dun Kedah Ogos lalu berkuatkuasa bulan ini
untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap pengikut dan
penyebar fahaman Syiah.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pindaan itu
yang diluluskan sudah diwartakan dengan percetakan untuk diguna pakai.
"Jika tidak silap empat hari lalu (hujung bulan lalu), rang
undang-undang itu sudah dicetak dan diwartakan. Justeru kita mempunyai
kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
"Sebelum ini walaupun sudah dipersetujui dalam sidang dewan (pindaan
rang undang-undang) tetapi sebab belum dicetak, ada pihak tertentu cuba
mencabar penguatkuasaan undang-undang dengan menganjurkan perhimpunan
(Syiah peringkat kebangsaan) walaupun sebenarnya melanggar
undang-undang," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan pada
program 'Insaniah Distinguished Speakers Series (IDSES 2014) di Kolej
Universiti Insaniah (Kuin) di sini, hari ini.
Mukhriz berkata, susulan itu Pemuda Umno Kedah sudah membuat laporan
polis kerana tersebar luas maklumat mengenai penganjuran perhimpunan
(Syiah) di Pendang, Kedah.
"Apabila rang undang-undang ini diwartakan dan kemudian ada laporan
polis daripada mana-mana pihak, polis sudah boleh bertindak (membuka
kertas siasatan dan mengambil tindakan).
"Kita sekarang bukan sekadar memberi amaran (terhadap penyebar Syiah)
tetapi sudah mempunyai kuasa untuk bertindak seperti yang diperuntukkan
oleh undang-undang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan