Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Mengaku silap sahaja tidak cukup sebaliknya Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menerangkan bagaimana hasil kajian
awalnya terhadap dua produk coklat Cudbury mengesan DNA babi diperolehi,
tegas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata biarpun KKM dan Jabatan
Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan dua produk itu kini
bebas dari DNA haiwan itu, namun umat Islam di negara ini masih berasa
was-was serta curiga.
Justeru, KKM dan Jakim perlu menjelaskan dengan lebih mendalam bersabit
isu itu bermula dari bagaimana isu itu boleh tercetus sehingga kepada
hasil siasatan yang mengatakan produk itu adalah halal.
"Orang ramai sekarang ini pemerhati. Mereka adalah hakim kepada
kejadian ini. Jadi orang hendak mendapatkan maklumat macam mana boleh
terjadi. Kalau terjadi (ada DNA babi), bagaimana ia berlaku? Contohnya,
adakah lori (bawa coklat) terjatuh dalam kandang babi?
"Atau orang yang buat ujian itu mungkin pegang atau makan babi
sebelumnya, kemudian makan sebelum buat ujian...itu yang kita nak tahu,
apa sebabnya? Takkan tiba-tiba babi masuk dalam coklat," katanya kepada
Antarapos.
Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan KKM yang
mengatakan dua produk coklat Cadbury - coklat susu dengan kacang Hazel
serta coklat susu dengan badam, dikesan mengandungi DNA babi atau
'porcine'.
Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat
ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat
berkenaan secara rawak di pasaran.
Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jakim pula memainkan
peranannya dan membuat ujikaji yang sama namun coklat itu diambil terus
dari kilang Cadbury dan bukannya diambil secara rawak dari pasaran,
seperti mana dibuat KKM.
Keadaan itu membimbangkan berikutan masyarakat terdedah kepada membeli
coklat yang sama diambil KKM untuk ujikaji itu dan bukannya produk yang
selamat (dari kilang) sepertimana di analisa Jakim.
Kelmarin Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahya berkata,
laporan awal analisa KKM itu tidak tepat dan penyebarannya kepada umum
secara terburu-buru mengakibatkan kekecohan di kalangan masyarakat
negara ini yang majoritinya beragama Islam.
Hilmi juga berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalaman bagi bagi
mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan dokumen laporan
sulit ujian makmal KKM bersabit penemuan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan