HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Jun 2014

Najib saman Malaysiakini kerana sebar fitnah

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memfailkan saman terhadap portal berita pro pembangkang, Malaysiakini kerana didakwa menyiarkan laporan berbentuk fitnah.
 
Perdana Menteri mengambil tindakan tersebut ke atas penerbit, ketua pengarang dan ketua editor portal berita Malaysiakini yang menyiarkan dua artikel pada 14 Mei lalu.
 
 
Artikel pertama iaitu "A case of the PM reaping what he sows" adalah berkaitan dasar kerajaan dan hudud manakala artikel kedua "How much will Najib spend to keep Terengganu?" berhubung isu kemelut politik di Terengganu bulan lalu.
 
Saman tersebut turut dilakukan secara bersama oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusof. Kes tersebut dijangka dibacakan di mahkamah pada 18 Jun ini.
 
Writ saman difailkan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada Jumaat lalu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan pihak media memperoleh writ saman itu pada hari ini.
 
Najib dan Ab Rauf menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor Malaysiakini.com Steven Gan dan Ketua Pengarang Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.
 
Kedua-dua artikel fitnah itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu.
 
Mereka mendakwa artikel tersebut diletakkan di bawah ruangan "Yoursay" di laman web portal www.malaysiakini.com oleh defendan-defendan sendiri atau pembantu mereka melalui komen daripada pelanggan atau pengguna laman web itu yang kemudiannya digabungkan sebagai satu artikel di bawah tajuk utama.
 
Sementara itu, dalam laporan BERNAMA, Najib, yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dan Ab Rauf bagi pihak Umno, mendakwa defendan-defendan membenarkan penerbitan artikel berkenaan dengan sengaja selain mengetahui ia adalah tidak benar dan tuduhan melulu tanpa mempedulikan kebenarannya.
 
Najib mendakwa kata-kata fitnah itu menjejaskan reputasinya sebagai ahli politik, presiden Umno dan perdana menteri.
 
Selain itu, kedua-dua plaintif mendakwa komen-komen tersebut membawa maksud secara sindiran untuk menunjukkan Umno tidak kompeten sebagai sebuah parti politik dan tulang belakang Barisan Nasional.
 
Mereka juga mendakwa kata-kata finah itu bertujuan menggambarkan Umno telah menyalah guna kuasa untuk kepentingan parti politik dan sebuah parti yang tidak demokratik serta sengaja mengada-adakan situasi yang tidak diingini.
 
Kedua-dua plaintif mendakwa akibat daripada penerbitan artikel itu, reputasi mereka terjejas teruk apabila Umno dikecam terutama di media sosial dan media massa.
 
Dakwa plaintif lagi, artikel berkenaan adalah komen-komen yang diberi tanpa sebarang asas dan hanyalah tuduhan melulu yang berniat jahat terhadap Umno, menyebabkan ketegangan antara rakyat dan Umno.
 
"Artikel-artikel fitnah tersebut menyebabkan ketegangan antara rakyat terhadap Umno, dilibatkan dengan skandal awam, diaibkan dan dihina oleh khalayak ramai dan masyarakat awam serta antarabangsa.
 
"Kerosakan pada reputasi Umno adalah sesuatu yang akan berlangsung selama bertahun-tahun lamanya disebabkan oleh penerbitan artikel fitnah tersebut yang boleh diakses dengan meluas di mana sahaja kerana ia diterbitkan di laman portal tersebut dan mempunyai pembaca virtual di serata dunia yang mana artikel itu juga boleh dikongsi di laman sosial lain termasuk forum-forum dan blog-blog persendirian tanpa sempadan," kata plaintif dalam pernyataan tuntutan.
 
Kedua-dua plaintif berkata pada 15 Mei lalu, satu notis tuntutan dihantar kepada defendan-defendan menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak untuk menuntut permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik artikel fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa dengannya.
 
Pada tarikh sama, plaintif-plaintif juga menuntut supaya kesemua defendan menyediakan akujanji bertulis tidak akan mengeluarkan kenyataan serupa.
 
Bagaimanapun, pada keesokannya (16 Mei) Malaysiakini menjawab notis tuntutan itu dengan pembelaan komen yang wajar untuk kepentingan awam dan menawarkan kepada plaintif-plaintif menjawab artikel berkenaan tanpa memenuhi tuntutan seperti yang dipohon plaintif-plaintif.
 
Pada 28 Mei, plaintif-plaintif menolak tawaran itu dan menerusi saman fitnah berkenaan menuntut ganti rugi am dan khas yang akan ditaksirkan mahkamah.
 
Turut dituntut adalah ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan, faedah, injunksi untuk menahan defendan-defendan atau pembantu mereka menerbitkan artikel tersebut, perintah bahawa defendan-defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar dan kos.

Tiada ulasan: