SHAH ALAM: Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu berhenti
daripada terus-menerus bersandiwara dengan memperbodohkan rakyat melalui
permainan drama politik durjana seperti menuduh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) menipu undi apabila kalah di Teluk Intan.
Penganalisis politik, Datuk Prof Dr Zainal Kling berkata, taktik 'zaman
batu' itu adalah perkara biasa dilakukan pembangkang sepertimana
tuduhan kepada SPR selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Itu memang taktik dia (DAP), taktik dia memang senantiasa menyalahkan orang," katanya kepada Antarapos.
"PR dan segala rakan kompenannya DAP, PKR dan PAS berhenti daripada
bersandiwara dalam bidang politik. Jangan memperbodohkan
pengundi-pengundi, jangan perbodoh rakyat Malaysia dengan permainan
sandiwara dengan permainan drama-drama politik dengan berjudi dalam
politik," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang ditimbulkan
pakatan pembangkang apabila mendakwa SPR menipu kiraan undi sehingga
memberi kemenangan kepada calon GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong.
Dalam keputusan PRK itu, dua hari lalu, Mah memperoleh 20,157 undi
mengatasi calon DAP, Dyana Sofea Mohd Daud yang memperoleh 19,919 undi.
Namun penyokong pembangkang memanipulasi kiraan undi bagi menjatuhkan
kredibiliti SPR dengan mendedahkan angka yang tidak tepat yang tersebar
luas di internet pada masa kini.
Antaranya, pihak berkenaan membuat perbandingan antara jumlah pengundi
hadir mengundi (39,850 orang) dengan pengundi awal (392 orang) yang
akhirnya berjumlah 40, 242 orang, tidak selari dengan total undi yang
diperoleh Mah serta Dyana. Justeru, pihak berkenaan mendakwa terdapat
lebihan undi sebanyak 384 undi.
Namun pada hakikatnya, pihak berkenaan tidak mencampurkan jumlah undi
rosak ke dalam perkiraan tersebut. Selain itu juga, jelas kelihatan
dalam maklumat yang disebarkan itu, pihak berkenaan menyatakan jumlah
undi rosak adalah 505, sedangkan daripada data yang dikeluarkan SPR
adalah 543.
Mengulas lanjut, Zainal menegaskan parti pembangkang mesti belajar
melihat kelemahan, keburukan dan kebodohan mereka sendiri serta tidak
hanya menyalahkan orang lain atas kekurangan parti masing-masing.
"Kalau dia fikir dia pandai dan dia lebih tahu dan rakyat bodoh maka
dia mesti menerima kesan daripada keputusan rakyat dan jangan dia (DAP)
menolak keputusan rakyat kemudian mendakwa dia amal demokrasi,"
jelasnya.
"Demokrasi adalah suara rakyat terbanyak, dia mesti menerima segala
keputusan suara rakyat dan menerusi sistem dan undang-undang sedia ada.
Jadi, kerana itu PR - PKR, DAP dan PAS mesti belajar untuk melihat
kelemahan-kelemahan sendiri, kebodohan-kebodohan sendiri dan
keburukan-keburukan sendiri," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat khususnya ahli parti-parti
pembangkang sentiasa berfikir dan tidak menjadi seperti 'lembu' dan
'kerbau' yang hanya mengikut telunjuk rakan kompenan Pakatan Rakyat itu.
"Kita menyeru kepada rakyat semua termasuk ahli-ahli parti pembangkang
ini supaya sentiasa berfikir jangan sentiasa menjadi 'lembu' dan
'kerbau' yang dicucuk hidung dan ditarik oleh orang yang kononnya pandai
dan yang kononnya serba tahu," tegasnya.
"Orang itu memang memperbodohkan kita semua dengan segala hujah-hujah
yang salah dan hanya untuk kepentingan diri, untuk kepentingan dia
berkuasa dan bukan untuk kepentingan rakyat serta bukan untuk
kesejahteraan rakyat," katanya.
Katanya lagi, ini kerana parti pembangkang didakwa hanya mementingkan
kuasa selain tidak mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.
"Kesejahteraan rakyat tidak menjadi pertimbangan dia (DAP), yang
menjadi pertimbangan dia hanya kuasa untuk dia memerintah untuk dia
berkuasa. Kemudian dia lupa kepentingan rakyat dan kesejahteraan
rakyat," katanya.
"Dan ini sudah jelas kelihatan di Pulau Pinang dan Selangor. Pulau
Pinang (kerajaan negeri) berjanji bermacam-macam tetapi tidak pernah
memenuhi. Masalah perumahan yang dihadapi rakyat tidak dipedulikan dan
begitu juga di Selangor...berjanji bermacam-macam tetapi kemudian
mengatakan kita tidak dapat memenuhi janji dengan menolak begitu sahaja,
menipu rakyat dengan begitu sahaja," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan