HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Mei 2016

Ahli Umno perlu henti usaha runtuhkan parti – Azalina

 
Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada parti yang kini berusia 70 tahun terutama disasarkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.


azalina


PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau terkilan apabila ada pemimpin dan ahli parti cuba meruntuhkan kekuatan dibina parti Melayu yang berusia 70 tahun itu.

Katanya, ada antara mereka bukan saja melontarkan kritikan di media sebaliknya mewujudkan gerakan menurunkan kepimpinan yang ada pada hari ini sehingga sanggup bersama pembangkang bagi memenuhi kepentingan peribadi.

“Saya sedikit terkilan apabila ada di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO cuba meruntuhkan kekuatan yang terbina,” katanya.

Walaupun tidak menjelaskan secara spesifik nama dan kumpulan berkenaan, ia dipercayai merujuk kepada tindakan bekas presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekumpulan ketua cawangan yang menggelar diri sebagai Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM).

Azalina berkata semua peringkat kepimpinan dalam UMNO sepatutnya memainkan peranan masing-masing menangani fitnah dalam media sosial terutama apabila ia disasarkan kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

“Sebagai pemimpin dan ahli parti kita harus meyakinkan rakyat UMNO ialah pilihan terbaik serta relevan bagi generasi hari ini dan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sepanjang 70 tahun ini, Umno membawa banyak perubahan dalam memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Saya cukup percaya kekuatan UMNO untuk kekal menjadi parti terkuat di negara ini hasil kesetiaan dan pengorbanan ahlinya. Kesetiaan ahli menjadi kayu pengukur kepada kehebatan UMNO pada hari ini, selain kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam menerajui parti,” katanya.

Tiada ulasan: