Abang mangsa menyifatkan Saravanan sebagai seorang
lelaki yang baik dan tidak pernah bergaduh dengan keluarga mahupun orang
lain.
PETALING JAYA: Mayat dalam but kereta BMW yang dikesan tenggelam di sebuah bekas lombong di Tasik Puchong, Taman Maju Jaya Ahad lalu disahkan milik seorang lelaki India yang hilang bersama keretanya selama lima hari.
Menurut laporan Sin Chew Daily yang memetik sumber sebagai berkata, kes itu dikatakan ada kaitan dengan satu lagi kes mayat rentung dalam but kereta Honda Accord yang ditemui di bahu Jalan Genting Peras, Hulu Langat menghala Kuala Klawang pada 5 Mei lalu.
Susulan itu, lima suspek berusia 27 hingga 43 tahun yang mengenali mangsa telah diberkas, namun polis enggan mengesahkan kedua-dua kes itu ada hubung kait.
Akhbar berbahasa Cina itu melaporkan, mayat dalam but kereta BMW itu adalah milik Saravanan Gopal, 29, yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja dengan bahagian pemasaran The Malaysian Reserve selama tujuh tahun.
Mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak lelaki berusia tiga dan lima tahun.
Difahamkan, Saravanan hilang sejak 2 Mei lalu dan ahli keluarganya telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Brickfields serta meminta bantuan orang ramai mencari mangsa melalui aplikasi WhatsApp.
Mereka turut menawarkan ganjaran kepada pihak yang mampu memberi maklumat berhubung kereta atau lokasi mangsa.
Bagaimanapun, abang mangsa yang berusia 33 tahun berkata, beliau amat sedih selepas menerima berita mengenai adiknya pada jam 4 petang kelmarin.
Mereka mengenal pasti Saravanan melalui pakaiannya semalam.
Jelasnya, bapa mereka meninggal ketika beliau berusia 12 tahun, diikuti ibunya 11 tahun kemudian dan kini adiknya turut meninggalkannya.
Beliau menyifatkan adiknya sebagai seorang lelaki yang baik dan tidak pernah bergaduh dengan keluarga mahupun orang lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah yang dipetik akhbar itu berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh namun punca kematian mangsa masih dalam siasatan.
Jurucakap polis pada Ahad lalu memaklumkan, pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung penemuan sebuah kenderaan di dalam tasik bekas lombong itu pada jam 2.07 petang.
Kereta BMW itu kemudiannya ditarik ke darat pada jam 4.40 petang dan hasil pemeriksaan mendapati satu mayat berada dalam but kereta berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan