MSO
Pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal
diadakan adalah peluang terbaik untuk pembangkang dan mereka yang
bencikan Najib Razak untuk menurunkan anak Razak dari kerusi perdana
menteri. Kedua-dua pilihan raya itu boleh dijadikan petunjuk dan bukti
bahawa Najib sudah tidak dihingini lagi bagi terus memimpin Malaysia.
Caranya ialah dengan pembangkang merampas kedua-dua kerusi berkenaan.
Dalam sistem demokrasi apabila sesuatu kerusi yang dimiliki sesebuah
parti apa lagi kerajaan, tetapi tiba-tiba berjaya dirampas pembangkang
menunjukkan kepimpin semasa parti kerajaan itu sudah tidak popular lagi.
Soal parti mana akan bertanding mewakili pembangkang melawan BN dalam
kedua-dua pilihan raya itu, boleh dibincangkan kemudian. Tempo dan waktu
masih ada. SPR pun belum menentukan tarikh penamaan calon dan
pengundian.
Persepakatan untuk meletak calon bersama sangat penting. Seandai
parti-parti pembangkang utama, Pas, DAP, PKR dan Amanah bersatu dan
tidak berebut calon dan saling sabotaj antara satu sama lain, sudah
tentu ia memberi pelawanan yang kuat kepada BN. BN akan cemas dan gerum
bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Najib tidak lena tidur memikir bagaimana menghadpai pilihan raya
berkenaan kerana dia sangat sedar implikasi kalah menangnya ialah
kepadanya. Apa lagi dalam keadaan beliau kini diserang tidak henti-henti
ia sangat membimbang dan menakutkannya. Kalau Najib boleh mempengaruhi
dan SPR boleh dibayar saya yakin beliau akan lakukan bagi mengelakkan
pilihan raya diadakan itu untuk menyelamatan dirinya.
Kepaduan pembangkang itu (kalau jadi) akan ditambah lagi dengan senario
dalam Umno sendiri kini yang berpecah. Kesan pemecatan Muhyiddin Yassin,
Shafei Afdal dan Mukhriz Mahathir akan membantu pembangkang dalam
pilihan raya itu dan bekasnya dapat dilihat. Apa lagi kalau Dr Mahathir
Mohamad yang kini menggerakkan program Deklarasi Rakyat di beri ruang
berkempen di kedua-dua pilihan raya itu ia menambahkan keadaan buruk
kepada BN dan Najib.
Kemenangan BN dalam kedua-dua kerusi itu dalam pilihan raya lalu tipis.
Ketipisan itu memberi peluang besar kepada pembangkang untuk merampas
kerusi berkenaan kemudian menghantarkan mesej buruk kepada Umno. Inilah
masanya untuk pembangkang menambahkan bilangan kerusi di parlimen.
Peluang seprti ini jarang berlaku. Bagaimana pun keadaan di pihak
pembangkang juga dua kali lima dengan apa dihadapi BN dan Najib.
Persoalannya apakah parti-parti pembangkang boleh bersatu, sepakat untuk
memberi tahu Najib dengan kejayaan merampas kerusi itu nanti bahawa
Najib sudah tidak dihingini? Beberapa kenyataan yang keluar dari
kalangan pemimpin atau individu parti pembangkang mengenai pilihan raya
kecil itu agak mendukaciatakan. Ia menggambarkan kecelaruan dan
ketidaksekataan pembangkang.
Apa yang berlaku kini bukan mudah untuk parti-parti oposisi mencari
titik pertemuan bagi menghadapi BN kemudian merampas kedua-dua kerusi
berkenaan. Ada yang sudah mengatakan kesediaan untuk bertanding di
kedua-dua kerusi itu tanpa melihat keupayaan dan sokongan terkini kepada
mereka. Ada juga yang sedang mencongak apakah akan ikut serta atau pun
tidak.
Secara asasnya yang berhak bertanding dikerusi itu ialah Pas kerana
dalam pilihan raya lalu mereka meletakkan calon di situ. Tetapi satu
hakikat kena terima, ketika itu Pas berada dalam satu pakatan bersama
PKR dan DAP. Apakah konsesus itu boleh diterima pakai, setelah DAP sudah
tidak bersama Pas lagi? Bukankah itu memberi kesan negatif kepada Pas
dan perkembangan politik yang diambil Pas kini merugikannya. Pas tidak
bernasib baik pada setiap kali melalui jalur-jalur demokrasi.
Jika sejarah itu hendak diambil kira dan pembangkang bersetuju untuk
bersatu untuk menyampaikan mesej rakyat bencikan Najib, elok kalau Pas
diberi peluang. Tetapi sebelum itu Pas harus berbincang dengan DAP, dan
juga bekas rakan mereka yang kini berada dalam Amanah. Amanah kini sudah
diterima secara sah sebagai rakan pakatan baharu PKR dan DAP menerusi
Harapan Rakyat. Suka atau tidak Amanah sudah rasmi menjadi sebuah parti
yang berpakat dengan PKR dan DAP.
Dalam hal ini berjurus kalau pemimpin Pas bersikap terbuka dan
menunjukkan ketinggian budi, memanggil DAP dan Amanah berbincang fasal
pilihan raya berkenaan. Bagi parti yang berjuang untuk menumbangkan BN,
DAP dan Amanah tidak degil untuk menerima Pas sebagai rakan sepasukan
bagi tujuan sama.
Persepakatan ini ia tidak mustahil berjaya, melainkan Pas sudah ada
agenda dan telah membingkaikan minda mereka, penyertaan Pas dalam
pilihan raya bukan mengharap kemenangan, tetapi keredhaan Allah yang
penting. Fahaman yang berguling dalam kepala orang Pas ini sangat
negatif, apabila mereka lebih suka BN menang daripada pembangkang yang
tidak berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Dengan cara berfikir demikian, Pas akan puas jika mereka sertai piliahn
raya itu, tetapi yang menangnya ialah calon Umno. Dengan pegangan dan
ijtihad politik yang digunakan pakai MSU hari ini, ia tidak menjadi
sesuatu yang merugikan kalau Pas menyertai pilihan raya tetapi kalah,
asalkan Umno menang. Pegangan kejap segini menyebabkan saya tidak tampak
akan berlaku persepakatan oposisi antara Pas, DAP dan Amanah.
Berdasarkan pemikiran itu juga mungkin Pas akan menjadikan pilihan raya
itu sebagai testimoni kepada pendiriannya yang ingin bersendirian selama
ini. Pas mahu mencuba apakah dengan dagang ia boleh berjaya atau
sebaliknya.
Kalau begitu jadinya, ertinya pembankang tidak boleh berharap atau
menanti Pas sebagai mewakili mereka melawan BN dalam pilihan raya kecil
berkenaan, sebaliknya harus menurunkan calonnya tersendiri. Dan jika
tiada jalan penyelesaian, bagi mengelakkan timbul masalah saya masih
berpandangan PKR boleh diharapkan untuk meletak calon di pilihan raya
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan