Mangsa berjaya melepaskan diri selepas bergelut dengan penyerangnya yang menunggunya di dalam tandas perempuan.
PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 30 tahun nyaris dirogol di tandas perempuan di sebuah stesen minyak di Rawang, malam Isnin lalu.
Harian Metro melaporkan, mangsa masuk ke dalam tandas berkenaan yang mempunyai tiga kubikel di dalamnya, kira-kira jam 10 malam pada hari kejadian. Ketika itu, terdapat dua wanita lain dalam tandas berkenaan.
Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa masuk ke dalam salah satu kubikel dan tidak lama kemudian terdengar seseorang memasuki tandas berkenaan.
Apabila keluar dari kubikel itu, mangsa mendapati ada seorang lelaki berdiri dekat pintu tandas, tidak berbaju dengan zip seluar terbuka. Lelaki itu kemudian mengunci pintu apabila melihat mangsa.
Mangsa bagaimanapun menjerit dan bergelut sebelum berjaya meloloskan diri daripada lelaki terbabit dan berlari keluar dari tandas itu.
Suspek kemudian dipercayai melarikan diri ke kawasan rumah kedai berhampiran, mengelak daripada ditangkap.
Kakak mangsa yang menggunakan nama Dhiya Srikandi Qalbu memuat naik kisah kejadian itu di akaun Facebook semalam, lengkap dengan gambar daripada rakaman CCTV menunjukkan mangsa melarikan diri dan terjatuh.
Mangsa mengalami kecederaan ringan di kaki dan badannya akibat kejadian itu.
Post mengenai kejadian menimpa mangsa itu setakat ini dikongsi 10,000 pengguna media sosial.
Ketua Polis Gombak ACP Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan