TAWAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak enam
helikopter tempur ringan jenis MD530G, selain empat helikopter Agusta
A109 LOH dilengkapi sistem persenjataan bagi mengukuhkan pemantauan di
perairan pantai timur Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pesawat
pejuang SU-30 MKM dan F/A-18D Hornet akan melakukan rondaan dua kali
sebulan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, khidmat pesawat udara tanpa pemandu (UAV) akan digunakan untuk
meningkatkan keupayaan pengawasan dan pengesanan yang memberi penumpuan
di sekitar Semporna dan Lahad Datu.
"Pelaksanaan ini adalah antara beberapa inisiatif baharu bagi
memperkukuh keselamatan di negeri ini daripada ancaman penculikan dan
jenayah lain yang sering berlaku khususnya di perairan pantai timur.
"Inisiatif ini adalah tambahan pelaksanaan pelbagai usaha menyeluruh
yang dilaksanakan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu
Tentera Darat, Laut dan Udara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Tawau, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tawau merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Tentera Darat
merancang menempatkan Briged ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu selain
perolehan aset 20 kenderaan perisai pacuan empat roda (Lipan Bara) yang
dilengkapi dengan `Gatling gun'.
"Perolehan aset dan kenderaan ini membolehkan pasukan diatur gerak
lebih pantas bagi mengawal serta memantau pantai timur Sabah," katanya.
Mengenai insiden penculikan terbaharu di perairan Pom Pom di Semporna,
beliau berkata, ATM akan terus bekerjasama rapat dengan agensi
keselamatan lain bagi menanganinya.
"Walaupun isu penculikan, penyeludupan dadah dan manusia yang berlaku
di sekitar Pantai Timur Sabah ini berada dalam pengurusan tanggungjawab
agensi lain, kita akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri
(KDN)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan