Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Penganalisis politik meramalkan 'hubungan baik' yang kembali
terjalin antara Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin
bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal melemahkan lagi sokongan orang
Melayu kepada pembangkang.
Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr.
Mohd Noor Mat Yazid berkata demikian, ekoran melihat kepada penyokong
anti-Mahathir terutamanya dalam PKR yang tidak 'gembira' dengan keadaan
tersebut.
"Tindakan yang dilakukan (Tun) Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin saya
rasa adalah silap, sekiranya ianya cuba untuk melupakan apa yang berlaku
bagi menarik sokongan PKR dan DAP. Kalau betul-betul nak menarik
sokongan Melayu secara mutlak kena bincang balik kedudukan selepas PRU.
"Kalau mereka buat begini, orang Melayu sendiri pun tidak boleh
menerima maka sokongan yang diterima akan kecil, dan gagal untuk
mendapat dominasi yang besar," katanya kepada Antarapos.
Malah katanya, tidak mungkin penyokong kuat bekas ketua pembangkang itu
boleh melupakan serta merta kekejaman yang pernah dilakukan bekas
perdana menteri itu terhadap Anwar pada tahun 1998.
"Saya rasa tindakan ini tidak akan menarik sokongan ramai sebab
masyarakat sudah nampak, dulu Mahathir sendiri yang memperlakukan
(memenjarakan) Anwar, siapa yang mula-mula bertindak terhadap (Datuk
Seri) Anwar, Mahathir.
"Masyarakat masih ingat, seolah nampak sangat demi kepentingan dia dan
suatu hari nanti bila sudah berjaya (jatuhkan BN) maka dia akan menolak
semula kenyataan itu. Ini mungkin boleh berlaku," jelas beliau.
Terbaru Muhyiddin dalam satu program malam tadi menyatakan sokongannya
terhadap pembebasan Anwar malah berikrar akan menjadikan ia agenda
perjuangannya.
Sebelum itu, Mahathir membuat kejutan apabila berjumpa Anwar untuk kali
pertama dalam tempoh 18 tahun selepas memecat beliau daripada kerajaan
dan Umno pada tahun 1998.
Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri dan timbalan presiden
Umno turut menuduh Mahathir sebagai dalang di sebalik hukuman enam tahun
yang dijalani beliau atas tuduhan sodomi.
Malah penyokong tegar Anwar dalam PKR mendesak parti itu waspada dalam
menjalin kerjasama dengan Mahathir kerana beliau dikatakan masih enggan
mengaku pernah menzalimi terhadap Anwar kerana rakus kuasa.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan sodomi kali kedua, melibatkan bekas pembantunya.
Mohd Noor juga tidak menolak tindakan drastik Mahathir dan Muhyiddin
ini ibarat langkah menyelamatkan diri daripada lemas dalam badai
politik.
"Dalam politik hari ini musuh, dan esok menjadi kawan. Kadang-kadang
seperti orang yang berada dalam keadaan lemas perlukan pertolongan, dia
akan mengambil apa sahaja yang boleh dijadikan bantuan pelampung, nampak
apa sahaja yang terapung dia akan cuba memegangnya. Itu yang saya
nampak," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan