MALAYSIAKINI
Juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan menghantar
mesej kepada seorang wanita yang mempunyai tiga anak mengenai "perkara
peribadi" dua hari sebelum pesawat berkenaan hilang pada 8 Mac, 2014.
Akhbar The Australian melaporkan Kapten Zaharie Ahmad Shah semakin rapat dengan Fatima Pardi pada bulan-bulan sebelum kehilangannya.
Persahabatan mereka dikatakan dengan cepat berkembang sehingga kapten
itu berperanan sebagai bapa kepada tiga anak wanita itu, yang seorang
daripada mereka menghidapi ‘cerebral palsy’.
Walau bagaimanapun, persahabatan mereka mulai dingin atas desakan Zaharie beberapa minggu sebelum pesawat itu hilang.
Fatima juga tidak mendedahkan subjek perbincangan WhatsApp terakhir mereka sebelum nahas itu.
"Perbualan terakhir itu adalah hanya antara saya dengan dia. Saya tidak mahu bercakap mengenainya.
"Saya khuatir apa yang saya katakan akan disalah-fahamkan. Ia perkara
peribadi, isu persendirian," katanya yang dipetik oleh akbar Australia
itu.
Fatima, 35, adalah bekas guru tadika yang kini bekerja untuk parti pembangkang.
Sebelum ini, wanita itu telah disoal sebanyak empat kali oleh
penyiasat berhubung kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan
anak kapal.
The Australian melaporkan bahawa Fatima menjadi semakin
rapat dengan Zaharie selepas mesyuarat sebagai sukarelawan politik pada
pilihan raya umum pada tahun 2013.
Beliau berkata juruterbang berusia 53 tahun itu kerap melawat rumahnya dan sering membawa hadiah untuk anak-anaknya.
Bagaimanapun, Fatima berkata mereka tidak mempunyai sebarang hubungan
sulit dan keputusannya untuk mendedahkan perkara ini kepada umum kerana
mahu menangkis spekulasi bahawa Zaharie mungkin merampas pesawat
tersebut.
"Ini bukan kisah cinta. Beliau seorang kawan. Kami hanya berkawan.
"Beliau berkata dirinya melihat saya mempunyai potensi dan mahu
membantu membina masa depan yang lebih baik untuk diri saya dan
anak-anak," katanya.
Fatima mengakui beliau menolak semua pelawaan untuk ditemu-bual sejak
hari malang pada 2014 itu kerana bimbang akan disalah tafsir dan
mungkin juga menyinggung perasaan keluarga Zaharie.
Katanya, walaupun terdapat khabar angin mengenai hubungan
persahabatan mereka, beliau menegaskan kedua-dua mereka rapat kerana
anak-anaknya sayangkan Zaharie.
"Saya tidak fikir bahawa beliau mencintai saya. Saya percaya beliau
sayangkan anak-anak saya. Apa juga anak-anak saya minta, beliau akan
membelikannya untuk mereka.
"Saya berkata kepadanya, beliau perlu berhenti berbuat demikian
kerana saya tidak memanjakan anak-anak. Dia akan berkata, 'mereka hanya
kanak-kanak'. Jadi, apa yang boleh saya simpulkan? Beliau sayang
kanak-kanak," katanya.
Julai lalu, sebuah majalah New York yang cuba menerangkan kehilangan
pesawat MH370 mendakwa maklumat bocor daripada daripada siasatan
mendapati wujudnya teori bahawa juruterbang itu cuba membunuh diri.
Mereka mendakwa Zaharie membuat perancangan, walaupun tidak serupa,
dengan laluan MH370 yang dipercayai dibawa ke selatan Lautan Hindi pada
simulator penerbangannya.
Pihak berkuasa mengesahkan maklumat yang bocor tetapi berkata laluan pada simulasi hanya satu "kemungkinan perancangan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan