Koh Jun Lin
Timbalan Presiden PKR, Mohd Azmin Ali melahirkan keyakinan dalam
memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum
akan datang, walaupun dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU) dan kemungkinan pilihan raya awal.
“Saya selalu optimis," katanya hari ini ketika disoal.
“Kita lihat apabila PKR dibentuk pada tahun 1999 dan kita menyertai
pilihan raya sebagai sebuah parti baru, kita juga mendapat tempat
apabila beberapa parti yang lebih lama ketika itu seperti DAP dan PAS
memberikan laluan kepada PKR.
“Saya kira ini boleh dicapai dalam suatu pembincangan dan muafakat
atas kepentingan dan kerangka yang lebih besar, bagi melakukan perubahan
di peringkat negara,” katanya.
Azmin, yang juga menteri besar Selangor, berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis program World Quran Hour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak hari ini.
Katanya, perbincangan awal mengenai pembahagian kerusi telahpun
diadakan, dan jentera parti PKR bersedia menghadapi sebarang
kemungkinan.
Beliau berkata, PKR akan mempertimbangkan semua pilihan untuk
memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN, di samping menjaga
kepentingan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, hubungan kerja PKR dengan
PAS, dan penampilan BERSATU di arena politik.
BERSATU - parti serpihan Umno yang diketuai oleh bekas presidennya,
Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin
Yassin - diluluskan secara rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan sebagai
sebuah parti politik baru pada Jumaat lalu.
Ditanya sama ada BERSATU akan menyertai gabungan Pakatan Harapan,
Azmin berkata perkara itu perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.
Walau bagaimanapun, beliau mengandaikan parti baru itu akan berperanan penting pada pilihan raya umum akan datang.
"Saya yakin bahawa dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan
keupayaan dan pengalamannya, beliau mempunyai daya tarikan kuat terhadap
pengundi Melayu, terutamanya ahli-ahli Umno," katanya.
Beliau berharap kekuatan BERSATU akan memperkukuhkan gabungan Pakatan
Harapan dan PAS dalam memastikan kemenangan untuk pembangkang pada
pilihan raya umum ke-14.
Sebelum ini, Bloomberg memetik dua ketua bahagian Umno yang tidak
dinamakan sebagai berkata bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada Mac
tahun depan, manakala naib presiden Gerakan Dominic Lau dilaporkan
berkata parti itu telah diarahkan untuk bersedia menghadapi pilihan
raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan