PUTRAJAYA: Pemandu teksi tempatan mengugut akan berhenti membawa teksi
untuk turut sama bekerja sendiri seperti pengusaha perkhidmatan Uber dan
Grabcar.
Jurucakap Kesepakatan Persatuan Teksi SeMalaysia, Zailani Isausuludin
berkata, jika Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetap
berpandangan Uber dan Grabcar adalah perkhidmatan yang terbaik buat masa
ini, maka semua pemandu teksi tidak harus terus mengusahakan industri
itu.
Zailani memberitahu jika itu yang berlaku, negara akan menyaksikan
kira-kira 70,000 pengusaha akan meninggalkan perkhidmatan teksi.
“Seandainya SPAD benar-benar mengatakan Uber dan Grab adalah yang
terbaik di Malaysia, semua warga teksi bersedia buang teksi dan bawa
kereta persendirian sama macam Grab dan Uber buat.
“Tak payah susah-susah lagi nak minta permit dan sebagainya, kita kena
berlaku adil. Kami tentang SPAD bukan kerana kami hilang punca rezeki,
tetapi mereka tidak hormati undang-undang yang digubal sebelum ini,
jangan menganiaya pemandu teksi,” katanya pada satu sidang media hari
ini.
Zailani berkata, pihaknya juga akan menyerahkan satu memorandum kepada
perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang, pada 26
September ini, bagi mendesak campur tangan mereka untuk membantu
pemandu teksi.
“Kita sudah buat mesyuarat di seluruh negara. Jadi, kita bersetuju
serah memorandum kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri,
memandangkan beliau adalah menteri dalam negeri.
“Kita juga akan beri (memorandum) kepada wakil pembangkang, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tengok siapa yang nak tolong kita.
“Kita nak Uber dan Grab diharamkan sehingga Rang Undang-undang (RUU)
digubal dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana sekarang ini
SPAD melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menghalalkan Uber dan
Grab,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan