KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menzahirkan ucapan terima kasih kepada
kerajaan Persekutuan selepas memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri
Perkhidmatan Bekalan Air negeri berkenaan setelah permohonan dibuat
pada 2008.
Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata dengan termeterainya
perjanjian itu, peruntukan kewangan bagi Program Pembangunan Bekalan Air
di masa hadapan akan lebih terjamin, serta komitmen daripada kerajaan
Persekutuan dan kerajaan negeri akan lebih kukuh dalam menjamin
perkhidmatan bekalan air ditingkatkan dalam masa terdekat.
"Peruntukan kewangan ini diperlukan demi untuk merealisasikan Rancangan
Pembangunan Hiliran Bekalan Air Negeri Kelantan yang sekian lama
dipohon daripada Kerajaan Persekutuan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB)
melalui Kerajaan Kelantan.
"Walaupun peruntukan disalurkan dalam tiga Rancangan Malaysia lalu,
namun masih banyak lagi peruntukan kewangan yang diperlukan bagi
melestarikan perkhidmatan bekalan air Negeri Kelantan," katanya dalam
satu kenyataan.
Semalam, kerajaan Persekutuan dan Kelantan memuktamadkan Penstrukturan
Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan yang bakal
memanfaatkan 1.6 juta pengguna di negeri itu dengan perkhidmatan air
yang lebih mampan.
Rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri
Kelantan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan
bermula sejak 2008 tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu telah
menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan
kualiti dan kuantiti air di negeri ini.
Kelantan merupakan negeri kelapan yang melaksanakan penstrukturan
semula perkhidmatan bekalan air seperti diperuntukkan di bawah Akta 655
selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Perlis
dan Perak.
Ahmad berkata pada 2001, kerajaan negeri telah mendapat pinjaman
sebanyak RM600 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk tempoh 15 tahun,
namun keperluan sebenar untuk jangka masa tersebut adalah sebanyak RM2
bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan