Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Nampaknya
agak mustahil bagi PAS dan Amanah berunding demi mengelakkan senario
lebih daripada dua calon parti politik Melayu-Islam bertembung dalam
sesuatu kawasan dalam pilihanraya umum (PRU) akan datang.
Ini bermakna impian dan strategi parti-parti pembangkang mahu memecah
monopoli Umno menguasai kerusi-kerusi majoriti Melayu-Islam akan tidak
menjadi kenyataan.
Sepatutnya dalam tempoh tidak sampai dua tahun PRU ke-14 akan
berlangsung, parti-parti pembangkang sudah mula berusaha merapatkan saf
perang mereka untuk berhadapan Umno-BN.
Bagaimanapun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada pihak yang sama
ada kerana kejahilan atau semangat mahu berpolitik melulu, mulai
mengocak dan meningkatkan suhu politik bermusuhan orang Melayu-Islam
khususnya.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, adalah ‘berdosa’ jika PAS
tidak mahu berunding untuk mengelakkan pertindihan kerusi pada pilihan
raya umum (PRU) akan datang.
"Kita akan berunding dengan siapa saja. Berdosa kalau tak nak
berunding. Kalau PAS ajak kami berunding, sudah tentu kami akan
berunding,” katanya.
Anuar menegaskan bahawa Amanah bersedia mengadakan sesi meja bulat bagi mengelak pertindihan kerusi pada PRU akan datang.
"Tapi dari awal belum diajak, mereka (PAS) kata tak mahu berunding
dengan pengkhianat, dengan DAP. Jika dulu boleh makan sepinggan, takkan
sekarang berunding pun tak boleh," katanya.
Menurutnya, rundingan itu perlu demi memastikan tiada pertindihan
kerusi berlaku pada PRU akan datang, terutama kerusi membabitkan calon
daripada kedua-dua parti itu.
Seraya itu Anuar menegaskan, Amanah mahu meletakkan calon pada kerusi
yang difikirkan mempunyai potensi untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan
walaupun ia mungkin milik tradisional PAS.
Sebagai seorang ahli politik yang sudah berkecimpung dalam banyak
platform politik – Angkatan Belia Islam (Abim), Parti Keadilan Nasional
(PKN), PAS dan kini Amanah, sudah pasti Anuar sedar akibat kenyataannya
itu.
Seperti yang boleh dijangka, PAS melenting
Malah sebaliknya beliau menegaskan bahawa adalah 'berdosa' jika PAS melakukan kerjasama bersama pengkhianat (Amanah).
Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. dalam sejarah perjuangan dan dakwah Islam
tidak pernah 'memberi muka' kepada golongan yang melakukan
pengkhianatan.
"Kalau kita berunding dengan pengkhianat itu berdosa. Sebab ia tidak
diajar di dalam agama Islam. Malah Islam mengharamkan seseorang itu
mengkhianat.
"(Ini) bukan ketetapan pimpinan PAS, tetapi ketetapan dari agama Islam.
Ia adalah dasar dan prinsip yang tidak membenarkan penganutnya
berunding dengan mana-mana orang yang mengkhianat,” tegas Nik Zawawi.
PAS melabel Amanah sebagai pengkhianat selepas sebahagian pemimpin dan
ahlinya bertindak meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang dan menubuhkan parti serpihan berkenaan.
Penegasan itu sekaligus dilihat akan menutup sebarang peluang PAS dan
Amanah saling berunding demi memastikan pertandingan satu lawan satu
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dapat dilaksanakan kelak.
Adalah kurang jelas sama ada pucuk pimpinan Amanah bersetuju dengan
pendekatan Anuar itu kerana PAS dan pemerhati politik umumnya tentu
membaca kenyataannya itu sebagai satu provokasi.
Jika demikian apa gunanya mahu menganjurkan meja bulat dan sebagainya
untuk mengelakkan pertindihan dalam merebut sesuatu kerusi di antara PAS
dan Amanah (dan mungkin Umno)?
Anuar juga menegaskan bahawa PAS tiada hak mendakwa sesuatu kerusi itu
hak mutlak mereka hanya kerana mengikut tradisinya PAS pernah
bertanding di situ.
"Kerusi yang dipertandingkan bukan hak mutlak mana-mana parti dan dipusakai anak cucu. Saya rasa itu bukan sesatu yang betul.
“Amanah akan memilih kawasan-kawasan yang baik, yang difikir sesuai
untuk ditandingi di mana-mana pun. Di kawasan yang kita ada kemampuan
dan tidak hitung siapa dulu yang bertanding di situ,” kata Anuar.
PAS memang kenal hati budi dan pemikiran hampir semua pemimpin Amanah
kerana mereka mencapai status ‘akil baligh politik’ dalam asuhan PAS.
Bagaimanapun setelah meninggalkan jemaah PAS, kenyataan yang menghukum
PAS melakukan dosa jika enggan berunding dengannya seperti dibuat Anuar
sudah tentu menjengkelkan PAS.
Adakah provokasi dan menjatuhkan hukuman pelbagai ke atas PAS satu
strategi Amanah? Apakah Amanah mahu melihat PAS melatah dan keadaan itu
akan dimanfaatkan untuk melakarkan persepsi bahawa PAS tidak matang?
Jika benar demikian, maka strategi sebegitu pasti mengkecamukkan
pemahaman politik rakyat yang semakin curiga dengan gelagat parti-parti
politik Melayu-Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan