MALAYSIAKINI
Pemimpin kontroversi akar umbi Umno Datuk Jamal Md Yunos hari ini menyatakan bantahan terhadap kenyataan peguam terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kimberley Motley, daripada Amerika Syarikat.
Jamal mendakwa menghasut orang ramai berkumpul di mahkamah Persekutuan, Putrajaya, bagi menyokong anak guamnya pada 12 Oktober ini dalam permohonan semakan kehakiman Anwar terhadap sabitan kesalahannya.
“Sebagai seorang peguam, beliau sewajarnya menghormati undang-undang di negara ini dan tidak bertindak kurang ajar seperti peguam gila seolah-olah beliau mempunyai kuasa menghasut rakyat,” katanya.
Motley semalam mengundang siapa sahaja yang percaya pada “kebenaran dan keadilan” hadir ke mahkamah pada bulan depan.
Dalam kenyataannya hari ini, Jamal berkata Anwar bukan tahanan politik dan “peguam gila dari Amerika Syarikat ini tidak berhak mencemari sistem kehakiman dan perundangan di negara ini dengan menghasut rakyat.”
Motley dilantik oleh Anwar untuk membantu beberapa kes yang sedang berlangsung, termasuk kajian semula sabitan liwatnya pada bulan Februari 2015.
Motley, graduan Sekolah Undang-undang Marquette pada tahun 2003, berkhidmat di Amerika Syarikat dan Afghanistan.
Beliau telah menjalankan penyelidikan dalam bidang kehakiman juvana yang mendapat laporan di peringkat antarabangsa dan membantu terlibat melatih ratusan peguam Afghanistan.
Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.
Anwar bagaimanapun berulang kali menegaskan beliau menjadi mangsa komplot politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan