shahbudindotcom
Sepertimana
yang diberitahu kepada umum sebelum ini, pendaftaran untuk menjadi ahli
Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM akan bermula hari ini.
Buat
permulaan, pendaftaran keahlian secara "walk in" boleh dilakukan di
alamat berikut - Suite 2.01, Epicure, No 1, Jalan Medan Setia 1, Bukit
Damansara, Kuala Lumpur.
Dalam
waktu terdekat ini juga, penyelaras di peringkat negeri akan diumumkan
untuk memudahkan lagi proses mendaftarkan keahlian di luar Lembah
Kelang.
Selain itu, pada minggu ketiga bulan September pula, pendaftaran keahlian secara online dijangka akan diaktifkan.
Beberapa
kelompok seperti Whatsapp grup, Facebook, kumpulan dan individu
tertentu turut menampakkan ingin bergerak mencari keahlian secara
sukarela dan "demi perjuangan" bagi memastikan kejayaan PPBM.
Berdasarkan
respon hangat masyarakat, pengaruh Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin
Yassin, Mukhriz Mahathir dan lain-lain pemimpin yang dipecat, kebencian
terhadap UMNO, rasa meluat kepada Najib Razak, menyampah dengan
pemimpin-pemimpin UMNO yang terus sombong dan angkuh, keghairahan ingin
menjatuhkan BN dan pelbagai sebab lainnya, adalah dijangka dan tidak
mengejutkan kiranya keahlian PPBM akan mendapat sambutan yang luar
biasa.
Semua
orang tahu PPBM bertujuan ingin mengalahkan UMNO dan memecahkan undi
Melayu di kawasan di mana parti itu selama ini bertanding atau bertapak.
Sebab itu, PPBM ditubuhkan mirip UMNO kerana ia adalah alternatif
kepada UMNO yang ketika ini sudah menjadi parti untuk mempertahankan
Najib semata-mata.
Oleh
yang demikian, dalam waktu terdekat atau sekurang-kurangnya sebelum
berlabuhnya tirai tahun 2016, berapa ahli yang munasabah yang perlu
didaftarkan oleh PPBM?
PPBM
tidak perlu terlalu tertekan dalam hal ini. Meskipun jumlah ahli yang
ramai adalah penting, tetapi yang lebih mustahak ialah sokongan pengundi
atau rakyat biasa yang tidak berparti sewaktu pilihanraya.
Banyak
parti-parti di dunia ini tidak mempunyai keahlian yang ramai, tetapi
dapat menguasai kerajaan kerana matlamat mereka yang bergerak sealiran
dengan kehendak serta keperluan rakyat.
Tetapi,
jika PPBM dapat mengumpul sejumlah 350 ribu atau 10 peratus daripada
jumlah keahlian UMNO untuk dua tiga bulan akan datang, ia sebenarnya
sudah lebih dari memadai. Lebih cantik lagi, kalau dapat mencecah
sehingga 500 ribu ahli.
PPBM
sudah sepakat akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, malah beberapa
pemimpin Pas juga menunjukkan keinginan untuk berlawan satu lawan satu
dengan BN. Tugas utama PPBM ialah memecahkan undi Melayu di
kawasan-kawasan UMNO.
Sebagaimana
disebut oleh Muhyiddin sebelum ini, 67 kerusi UMNO sekarang ini berada
dalam keadaan terumbang-ambing dan jika berlaku peralihan sokongan
sebanyak 4 peratus saja, 45 daripada akan "terbang melayang" dan
terlepas daripada genggaman.
Di
kawasan-kawasan tersebut, tidak semestinya semua PPBM yang akan
bertanding. Mungkin sebahagiannya oleh PKR atau Amanah dan jika Pas
turut bersama, parti itu juga dapat nikmat daripadanya. Di kawasan bukan
Melayu atau campuran, sudah tentu DAP dan PKR lebih dominan berbanding
parti-parti komponen BN.
Bermakna,
buat permulaan ini, dengan PPBM dapat mencuri 10 peratus keahlian UMNO
atau seramai 350 ribu atau lagi baik sehingga 500 ribu, sudah cukup
untuk "memercikkan peluk dingin" buat Najib, UMNO dan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan