PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan untuk menumpukan ke arah mentransformasikan sistem pengangkutan awam di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan
berikrar untuk menyiapkan apa yang belum dilakukan dan tidak diberi
tumpuan sebelum ini, dalam usaha membangunkan sistem pengangkutan yang
modern, efisien, dipercayai dan selamat untuk penduduk di Lembah Klang
dan di luarnya.
"Kesan daripada kesesakan lalu lintas yang melemaskan akan membuatkan
bandar raya kurang ideal untuk didiami dan ini seterusnya menjadi kurang
efektif bagi pelawat dan pelabur.
"Bandar raya lain di rantau ini sedang berusaha menjadikan mereka
bertaraf dunia, kita juga tidak harus ketinggalan," katanya semasa
merasmikan majlis pecah tanah laluan Aliran Transit Massa (MRT) Sungai
Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di tapak projek MRT Putrajaya Sentral, di
sini hari ini.
"Kami mengambil tindakan tegas untuk menyiapkan apa yang belum
dilakukan sebelum ini dan membetulkan segala kelemahan ekosistem
pengangkutan awam kita," katanya.
Dalam pada itu kata Najib, laluan sepanjang 52.2km itu yang mempunyai
37 stesen, akan memendekkan masa perjalanan dari pusat pentadbiran
kerajaan Putrajaya ke Kuala Lumpur kepada 30 minit.
Najib berkata Laluan MRT SSP (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) akan
mempunyai persimpangan bertingkat di sepanjang laluannya dengan
perkhidmatan rel yang ada seperti KTM Komuter, LRT, Monorel dan Express
Rail Link serta akan dintegrasikan termasuk dengan Kereta api
Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang sedang dibangunkan.
"Dengan ini maka kita akan mewujudkan peluang dalam masa tidak berapa
lama lagi, kita akan perlukan hanya 30 minit sahaja untuk ke KL dan jika
kita mahu ke Singapura kita akan memerlukan hanya 90 minit sahaja.
"Ini semua bayangan Malaysia pada masa depan yang moden dan kita mesti
pastikan bahawa segala projek seperti ini dapat disiapkan mengikut
jadual dan mengikut bajet," katanya.
Najib menekankan akan pentingnya faktor kebolehpercayaan dalam sistem
pengangkutan awam untuk memenuhi tahap kepuasan paling tinggi pengguna.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam
pembangunan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) kerana berupaya
menyiapkan projek itu menepati masa dan dalam lingkungan kos yang
disasarkan.
Menurut kenyataan MRT Corp, fasa satu Laluan MRT SSP dari Sungai Buloh
ke Kampung Batu dijangka beroperasi pada suku kedua 2021, sementara
laluan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.
Laluan MRT akan beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui
Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar
Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.
Laluan itu akan mempunyai 12 persimpangan bertingkat yang disepadukan
dengan perkhidmatan rel sedia ada serta stesen pertukaran di Bandar
Malaysia Selatan bagi kereta api rel berkelajuan tinggi.
Sebaik beroperasi, Laluan MRT SSP dijangka mempunyai bilangan penumpang harian sebanyak 529,000 orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan