KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua kementerian dan
agensi-agensi di bawahnya meneliti cadangan yang diutarakan rakyat dalam
laman #Bajet2017.
Perdana menteri berkata tindakan itu perlu kerana banyak cadangan yang
diberikan rakyat dalam laman khas itu berkait dengan urusan kementerian.
"Ini pandangan dan pendapat rakyat, perlu semua ambil maklum," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebooknya hari ini.
Najib yang juga menteri kewangan pada masa sama berkata setakat ini,
laman khas itu telah berjaya menerima ribuan cadangan baik daripada
rakyat.
"Terima kasih, cadangan baru amat dialu-alukan sebelum tarikh tutupnya pada 19 September," katanya.
Idea yang telah disumbangkan setakat ini merangkumi topik seperti kos
sara hidup, perkhidmatan penjagaan kesihatan, perumahan dan kehidupan
bandar, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan
pendidikan.
Seorang penyumbang idea, Khairul Annuar mencadangkan agar kerajaan
menaik taraf perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan
menambah laluan baru serta kekerapan perkhidmatan tren KTM Komuter.
"Ini kerana apabila tren antara bandar dapat dipercepatkan dan ditambah
kekerapan maka lebih ramai akan beralih hidup di luar bandar atau di
kawasan kampung (bandar kecil) walaupun mereka bekerja di Lembah Klang,"
katanya yang memuat naik cadangan itu dalam laman khas #Bajet2017
Khamis.
Orang ramai masih boleh memberikan sebarang cadangan bernas mengenai
Bajet 2017 dalam laman khas https://bajet2017.najibrazak.com yang
diperkenalkan sejak 5 Sept lalu, sebelum 19 Sept ini.
Bajet 2017 akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Oktober.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan