BUAT kali kedua Pengarah
Strategik Barisan Nasional, (Datuk) Abdul Rahman Dahlan dilaporkan telah
menamakan Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai orang yang digelar “Malaysian
Official 1” (MO1) oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ). (Baca di sini)
Tetapi konco, macai dan balaci
Najib kelas mamat dan pemakan dedak tetap menafikan. Mereka mencari
berbagai-bagai helah dan alasan untuk menimbus bangkai gajah Tok Mia yang reput dan busuk.
Ahli Parlimen BN Langkawi,
Nawawi Ahmad, misalnya cuba mengabui mata rakyat jelata dengan mengaitkan MO1
dengan Yang di-Pertuan Agong. Dia kemudian memohon maaf atas perbuatan bodohnya
setelah menyalahkan orang lain kononnya menyalahtafsirkan kenyataan beliau.
Tetapi pengesahan Abdul Rahman
ini bukan calang-calang pengesahan. Ia adalah pengesahan taraf Kabinet dan standard global oleh salah
seorang pembela terulung Perdana Menteri.
Ia bukan pengakuan lawak
standard Ahli Parlimen Langkawi. Ia pengesahan rasmi yang dibuat bukan kepada
media arus perdana tempatan yang boleh diperkotak-katikkan tetapi kepada
penyiar global – British Broadcasting Corporation (BBC). Bukan sebarang orang
boleh dapat “airtime” di BBC. (Baca/tonton di sini).
Jadi, akibat pengesahan Abdul Rahman
itu bertambah kuat dan jelaslah bukti yang selama ini cuba dipertikaikan iaitu
Najib adalah numero uno – orang nombor satu – 1MDB.
Atau adakah Abdul Rahman juga
akan buat macam Ahli Parlimen Langkawi dengan mengatakan kenyataan beliau diputarbelitkan
atau disalah takrif? Boleh buat tapi sudah terlambat.
Masih Tak Percaya?
Soalnya, dengan pengesahan
kepada BBC oleh Abdul Rahman bahawa MO1 adalah Najib, masih adakah lagi konco, macai dan balaci
pemakan dedak akan cuba putar-belit dan adakah lagi pihak yang tidak percaya?
Ini termasuklah para ulama dan
agamawan PAS. Berpandukan pengalaman lalu, saya rasa segelintir mereka akan
terus tidak percaya walaupun pengakuan itu dibuat oleh menteri Najib sendiri.
Kita sudah lihat macam mana
Presiden PAS, (Datuk Seri Tuan Guru) Haji Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Am (Datuk
Tuan Guru) Haron Din dengan keras menafikan pembabitan Najib dalam dakwaan
salah guna kuasa dan rasuah berkaitan 1MDB.
Malah mereka kini menjadi kayu
penongkat mahligai politik Najib yang condong dan goyang.
Tetapi penafian Abdul Hadi dan
Haron menjadi semakin sukar dipercayai dan dipertahankan dengan semakin
banyaknya pendedahan baru yang sangat sensasi mengenai penipuan dan
penyelewengan duit 1MDB.
Sebelum Abdul Rahman
menggugurkan bom nuklear ke atas Najib, media massa antarabangsa melaporkan
kemungkinan sebahagian duit yang disonglap daripada 1MDB telah digunakan
untuk membiayai empayar hiburan antarabangsa milik seorang Arab.
![]() |
| Kelab malam Las Vegas ini dikatakan dibiayai duit curi 1MDB |
Laporan itu mengatakan bahawa pada 18 Ogos lalu, seorang Arab bernama Khadem Abdullah al-Qubaisi telah ditangkap oleh pihak berkuasa Abu Dhabi kerana disyaki menyelewengkan duit sebanyak AS$470 juta (kira-kira RM1.8 bilion) dalam urusan usaha sama negara itu dengan 1MDB.
Apa yang al-Qubaisi dituduh buat
dengan duit itu saya rasa Abdul Hadi, Haron dan semua orang PAS boleh
faham. Cuma sama ada mereka hendak mengaku atau tidak.
![]() |
| Al-Qubaisi ditahan oleh pihak berkuasa Abu Dhabi |
Al-Qubaisi adalah orang di belakang Hakkasan Group, sebuah empayar hiburan yang memiliki kelab malam, hotel dan restoran mewah di merata dunia.
Kalau betul alasan penangkapan
al-Qubaisi oleh pihak berkuasa Abu Dhabi itu, jelaslah duit yang disonglap
daripada 1MDB telah digunakan untuk kegiatan yang dilarang oleh Islam.
Tak tahulah saya kalau Abdul Hadi
dan Haron boleh meyakinkan kita bahawa kelab malam Hakkasan di bandar raya judi
Las Vegas itu patuh Syariah.
Yang sudah jelas adalah
sebahagian duit yang dibocorkan daripada 1MDB telah digunakan oleh anak tiri
Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, dan rakan kongsinya, Jho Low untuk membiayai
penerbitan filem separuh lucah “The Wolf of Wall Street” serta membeli kediaman
mewah di Amerika serta lukisan mahal. Harta itulah yang hendak dirampas oleh DoJ melalui saman sivilnya di Los Angeles.
Tapi kalau Abdul Hadi dan Haron
tak faham lagi atau tak peduli, saya tak tahu apa nak kata. Nak kata mereka
masih tunggu empat orang saksi misteri pun tak masuk akal juga sebab satu dunia
sudah tahu.
Susah nak fikir. Nak tuduh atau
syak mereka terima dedak daripada Najib tentu tak kena pada tempatnya sebab
mereka orang agama.
Masakan ulama besar sanggup jadi
tali barut dan bersekongkol sembunyi perbuatan salah yang membebankan rakyat
jelata sekarang dan pada masa akan datang?
Wallahuaklam.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan