shahbudindotcom
Sesiapa
pun yang menjadi pemimpin, apabila ada dakwaan secara langsung
ditujukan kepada mereka, biasanya pemimpin berkenaanlah yang akan tampil
memberi penjelasan berkaitan apa yang didakwa itu.
Ketika
Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, semua dakwaan terhadap
dirinya sentiasa dijawab olehnya dengan logik yang mudah serta hujah
yang meyakinkan.
Sama
ada ketika berkrisis dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar
Ibrahim atau semasa menyerang Najib Razak, semua isu berkaitan dirinya
yang dipersoalkan akan dijawab sendiri oleh Tun Mahathir.
Hanya
setelah itu, barulah pemimpin-pemimpin lain menyebarkan jawapannya itu
atau memberikan jawapan tambahan bagi mengukuhkannya lagi.
Kekuatan
Tun Mahathir, selain logik yang mudah serta hujah yang meyakinkan,
bahasa yang digunakannya juga ringkas dan senang difahami.
Tidak
pernah sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau mewakilkan
kepada pegawai khas, setiausaha akhbar atau mana-mana pegawainya untuk
menjawab sebarang dakwaan yang dikaitkan langsung terhadap dirinya.
Tun
Mahathir sentiasa ada keberanian untuk menjawab apa-apa persoalan yang
ditujukan kepafa dirinya. Beliau tidak lari, tidak berselindung dan
tidak juga menyembunyikan dirinya.
Malah,
di sebalik Tun Abdullah Badawi yang dikatakan lemah dan selalu tidur,
ketika era kepimpinannya sedang dipertikai dahulu, beliau juga punya
keberanian untuk tampil menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan
khusus tentang dirinya.
Tiada
ruang untuk setiausaha akhbar, pegawai khas dan lain-lain
pegawai-pegawai Tun Mahathir atau Tun Abdullah untuk tampil menjawab
bagi pihak diri mereka.
Sebenarnya,
itulah tanggungjawab moral yang paling asas bagi seseorang pemimpin,
lebih-lebih lagi yang memegang jawatan Perdana Menteri. Di situlah
terserlahnya wibawa, ketokohan serta keyakinan rakyat. Ia juga
menjadikan rakyat merasakan benar-benar mempunyai Perdana Menteri.
Tetapi,
di era kepimpinan Najib yang kononnya hebat dan penuh gaya ini,
tanggungjawab moral itu sudah tiada lagi. Banyak persoalan yang
ditujukan khusus kepada Najib, hanya dijawab dengan diam dan bisu tanpa
kata-kata oleh yang empunya tubuh, sebaliknya sang setiausaha akhbar
pula yang kerap tampil menjawab bagi pihak dirinya.
Perkara
itu pula sudah banyak kali berlaku yang seolah-olah memperlihatkan
Najib tidak ada berani untuk mempertontonkan air muka penuh tulus serta
sinar keyakinan wajahnya kepada umum.
Yang
memualkan lagi, tidak saja menjawab, sang setiausaha akhbar itu juga
turut melontarkan bidasan atau serangan peribadi kepada mereka yang
menyerang "bossnya" itu seolah-olah beliau juga ahli politik yang sudah
beberapa penggal menang pilihanraya.
Jika
setiausaha akhbar itu tampil menjelaskan mengenai perkara yang
melibatkan kerajaan atau hal-hal umum berkaitan Najib, mungkin ia boleh
diterima, tetapi tentulah tidak masuk akal apabila beliau juga yang ke
depan memberi jawapan apabila Muhyiddin Yassin menuduh Perdana Menteri
mempunyai wang RM1,000 juta sebelum masuknya RM2,600 juta sebelum itu.
Begitu
juga apabila Jabatan Kehakiman AS mendakwa wang yang masuk ke akaun
peribadi adalah berpunca daripada 1MDB dan bukan derma sesiapa, yang
tahu hakikat sebenarnya perkara itu ialah Najib. Oleh itu, Najib tidak
seharusnya diam atau setiausaha akhbarnya membangkitkan cerita lama
kononnya tiada perlanggaran undang-undang telah dilakukan oleh Perdana
Menteri.
Apa yang seorang setiausaha akhbar tahu mengenai kebenaran wang yang ada dalam akaun bank peribadi Najib?
Beliau
hanya makan gaji dengan Perdana Menteri dan sudah tentu akan melakukan
kerja berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Najib saja. Lebih daripada
itu, beliau tidak tahu apa-apa. Jauh sekali untuk berani bertanya
mengenai wang yang dimiliki Najib.
Dengan
sudah beberapa kali Najib seolah-olah mewakilkan kepada setiausaha
akhbarnya memberikan jawapan, ia bukan saja menyerlahkan lagi lekehnya
Najib sebagai Perdana Menteri, bahkan kadang-kadang membuatkan beliau
tidak dirasakan benar-benar dekat dengan rakyat.
Apatah
lagi dengan adanya pelbagi saluran media baru sekarang, penampilan dan
keberanian memberikan jawapan itu boleh dilakukan bila-bila masa dan di
mana saja. Yang perlu hanya cuma keberanian.
Najib
sebaliknya hanya suka tampil membanggakan dirinya dengan angka-angka
yang tidak dirasai nikmatnya oleh rakyat jelata. Angka-angka yang selalu
diumumkannya hanyalah untuk keseronokan dirinya semata-mata. Sebagai
Perdana Menteri, bukan menunjukkan angka itu yang penting, sebaliknya
yang jauh lebih mustahak ialah keberanian memunculkan diri dalam susah
dan senang, bahagia dan derita, luka dan ketawa serta tidak lari
daripada segala bencana yang tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan