SUBANG: Selain pinjaman bank, pembeli rumah kini boleh mendapatkan dana
melalui pemaju perumahan yang mempunyai lesen meminjam wang menerusi
inisiatif Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (KPKT).
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kementerian itu bersetuju memberi
lesen pinjaman wang kepada pemaju yang layak mengikut Akta Pemberi
Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 [Akta 400] bagi meringankan beban
pembeli rumah yang sukar mendapatkan pinjaman bank.
Bagaimanapun katanya, lesen berkenaan akan diberi kepada pemaju yang memenuhi kriteria yang ditetapkan kementerian.
"Kita harap apabila pemaju ada lesen memberi pinjaman wang yang sah, ia
akan membolehkan pembeli membuat pinjaman kepada pemaju.
"Ada pembeli yang tak dapat 100 peratus pinjaman daripada
bank...mungkin hanya 70 peratus. Pembeli itu hanya mempunyai wang
sebanyak 10 peratus bagi pembayaran deposit, jadi selebihnya dia boleh
membuat pinjaman kepada pemaju," katanya pada sidang media selepas
Persidangan Perumahan dan Hartanah Nasional 2016 di sini, Khamis.
Melalui kaedah itu kata Noh, pemaju boleh mengenakan kadar faedah
maksimum setahun sebanyak 18 peratus tanpa cagaran, manakala pinjaman
bercagaran sebanyak 12 peratus.
Tambahnya, selain membantu meringankan beban pembeli, langkah berkenaan
juga bakal memberi keuntungan tambahan kepada pemaju yang berperanan
sebagai pemberi pinjaman wang berlesen.
"Saya harap melalui kaedah ini, ia akan memberi ruang dan peluang kepada pembeli untuk memberi rumah idaman mereka.
"Ia juga sebenarnya untuk membantu pemaju menjual projek perumahan
mereka bagi mengurangkan kadar rumah tidak terjual ekoran masalah
pinjaman yang dihadapi pembeli," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan