Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Baharuddin Aziz
menasihatkan pembangkang tidak mudah melatah dengan cadangan penamaan
semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap tentangan beberapa
wakil rakyat pembangkang yang gusar cadangan penamaan semula itu akan
menyebabkan penambahan pengundi yang 'menguntungkan' Umno-Barisan
Nasional (BN).
Apa yang penting, ujar Baharuddin adalah kerja keras pembangkang untuk
memenangi sokongan pengundi sekiranya mahu menang dalam pilihan raya
akan datang.
"Tenang. Jika ubah nama sekalipun, dan kalau melibatkan (jumlah)
pengundi, maka ini tugas anda pula untuk memenangi hati dan minda
pengundi. Itu peranan parti-parti politik untuk meraih sokongan dan
simpati. Kena ikut apa yang pihak berkuasa buat," katanya ketika
dihubungi Antarapos, hari ini.
Beberapa hari lalu SPR mencadangkan usaha penamaan semula 12 kerusi
Parlimen dan 34 kerusi DUN di seluruh negara berdasarkan kesesuaian
penambahan kawasan dalam sesebuah kawasan.
Negeri-negeri yang terlibat adalah Selangor (5), Perak (3), dan
masing-masing satu kerusi di Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,
Negeri Sembilan dan Johor.
Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan pembangkang yang
menyifatkan ia sebagai melanggar semangat demokrasi dan prinsip keadilan
di negara ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa usaha
berkenaan memberi keuntungan kepada Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) kelak.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling
Jaya Utara mendakwa cadangan penamaan semula itu akan menggandakan
jumlah pengundi di kawasannya.
Malah usaha tersebut yang juga dikenali sebagai persempadanan semula
kawasan pilihan raya itu sebagai usaha SPR 'mencuri kemenangan PRU14'
demi Umno-BN.
Sementara itu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar
menjangkakan kekalahan di kawasannya memandangkan peningkatan jumlah
pengundi polis.
Mengulas lanjut, Baharuddin yang juga pensyarah kanan bagi Program
Pengajian Pasca Siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)
menegaskan kebimbangan pembangkang tidak berasas memandangkan usaha itu
tidak melibatkan jumlah pemindahan pengundi.
"Apa yang dilakukan oleh SPR adalah penamaan semula kawasan. Tidak ada
kaitan dengan pemindahan pengundi. Pengundi tetap wujud di kawasan
tersebut. Hanya tukar nama.
"Sebagai contoh Subang, yang meliputi kawasan Sungai Buloh. Sungai
Buloh mempunyai lebih ramai pengundi berbanding Subang. Jadi betullah
pemindahan nama Parlimen Sungai Buloh.
"Usaha ini untuk merealitikan sesuatu kawasan dengan nama kawasan dengan keadaan itu sendiri," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan