Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan perlu menimbang secara serius cadangan
penubuhan tribunal atau lembaga bagi menguruskan kes hak penjagaan serta
status agama anak-anak pasangan bukan Islam, berbanding membawanya ke
Mahkamah Sivil ataupun Mahkamah Syariah.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
berkata, tribunal atau lembaga itu akan menguruskan pertikaian berikut
secara kekeluargaan dan tidak secara formal.
Dengan cara itu, kes-kes mambabitkan hak penjagaan anak serta status
agama anak-anak akan mudah diselesaikan dan tidak memakan masa
bertahun-tahun seperti kebanyakkan kes yang berlaku ketika ini, ujar
Zainul.
"Dalam proses mediasi (usaha pendamaian), Suluh atau tribunal ataupun
lembaga, ia boleh dibuat secara tertutup. Lebih tidak formal, lebih
kepada perbincangan.
"Apa sebenarnya 'kehendak' pihak-pihak (yang bertikai) berbanding
dengan apa 'hak' pihak-pihak (yang bertikai). Apakah 'keperluan'
pihak-pihak (yang bertikai) pada masa akan datang berbanding dengan apa
'dalam undang-undang saya perlu pertahankan hak saya'.
"Saya percaya prinsip-prinsip sebegitu akan redakan dilema atau polemik
(kes-kes) sebegini," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif
Antarapos, baru-baru ini.
Zainul berkata, percanggahan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan
Mahkamah Syariah menyaksikan banyak pasangan bukan Islam yang bercerai
dan salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam, terperangkap
dalam perundangan negara.
Ini kerana mereka perlu membubarkan perkahwinan terlebih dahulu, tetapi
tidak dapat berbuat demikian kerana seorang daripadanya terikat dengan
sistem Mahkamah Sivil sementara pasangannya berada di bawah kuasa
Mahkamah Syariah.
Kes ini semakin rumit jika ia melibatkan anak-anak yang ditukar
agamanya kepada Islam oleh ibu atau bapanya secara unileteral (oleh satu
pihak sahaja), seperti yang berlaku dalam kes Indira Ghandi dan bekas
suaminya, Mohd Ridzuan Abdullah (K Patmanathan).
Ridzuan selepas memeluk Islam bertindak menukar agama tiga anaknya tanpa persetujuan Indira.
Indira membantah tindakan itu dan membawa kes ini ke muka pengadilan,
namun selepas memasuki tahun ketujuh, kes ini belum menemui jalan
penyelesaian.
Justeru, Zainul berkata dengan adanya tribunal atau lembaga, pertikaian
Indira-Ridzuan dan banyak lagi pasangan lain mungkin boleh diselesaikan
dengan berkesan.
"Kalau pergi ke mahkamah, akan ada formaliti, ada media yang akan
mensensasikan isu-isu sebegini. Jadi pihak ketiga (tribunal/lembaga) ini
akan cuba selesaikan atas prinsip mediasi atau suluh, secara baik.
"Mungkin perlu ada wakil dari Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dan
lantik seorang pengerusi untuk kendalikan prosiding secara tidak
tertutup, secara kekeluargaan kerana ia melibatkan keluarga," jelas
Zainul.
Zainul berkata, cadangan untuk mewujudkan tribunal atau lembaga ini
sudah dipanjangkan kepada beberap orang menteri dan timbalan menteri dan
setakat ini reaksi balas yang diperolehi adalah positif.
Pengamal undang-undang ini berkata, untuk menjadikan tribunal atau
lembaga ini sah dan berkredibiliti, mungkin perlu digubal udang-undang
yang memperincikan klausa dimana kes-kes sebegini perlu dirujuk kepada
pihak ketiga (tribunal/lembaga).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan