HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 September 2016

Pembeli rumah jangan keliru dan terburu-buru - Johari

MALAYSIA GAZETTE




Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berpendapat pemberian lesen meminjam wang kepada pemaju perumahan adalah tidak logik.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu sebaliknya berkata, masalah utama dalam isu perumahan bukanlah keengganan bank memberi pinjaman, tetapi kerana pemaju tidak berminat untuk membina kediaman mampu milik yang mencukupi, selain kekurangan tunai oleh pembeli.

Beliau berkata, pemaju membina rumah dengan harga bernilai antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit, tetapi bank hanya menyediakan pinjaman sekitar RM200,000 kepada orang muda.

Jelasnya, pemaju tidak mampu berbuat apa-apa walaupun diberi lesen meminjam wang kerana mereka sendiri kekurangan tunai untuk dipinjamkan.

"Pemaju perlu meminjam daripada bank untuk menyempurnakan projek perumahan. Jika pemaju pinjam daripada bank dan meminjam pula kepada pembeli, ini mekanisme yang tidak boleh diterima dan tidak mampan.

"Beritahu saya, pemaju manakah yang mampu menyiapkan satu projek melalui kekuatan (kewangan) sendiri? Tidak ada, sebab mereka kekurangan tunai dan perlu meminjam daripada bank," katanya kepada Sinchew Daily.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar sebelum ini mengumumkan, selain pinjaman bank, pembeli rumah boleh mendapatkan dana melalui pemaju perumahan yang mempunyai lesen meminjam wang menerusi inisiatif kementeriannya.

Kementerian itu bersetuju memberi lesen pinjaman wang kepada pemaju yang layak mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 bagi meringankan beban pembeli rumah yang sukar mendapatkan pinjaman bank.

Johari berkata, Malaysia pada masa ini mempunyai lebih 20 bank dan menyediakan saluran pinjaman yang mencukupi.

Katanya, sekiranya pembeli tidak mampu melangsai hutang dengan kadar faedah enam peratus, apatah lagi 18 peratus yang dikenakan pemaju perumahan.

Menurutnya, lesen untuk bank adalah diselia oleh Bank Negara dan Kementerian Kewangan manakala lesen meminjam wang dikawal oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya melontarkan pandangan kerana ramai orang yang keliru. Orang ramai mungkin tidak faham tentang perjalanan sistem institusi kewangan dan saya tidak mahu mereka keliru dan bertindak terburu-buru," katanya.

Johari menasihatkan pembeli rumah supaya membeli mengikut kemampuan atau mungkin berdepan risiko rumah mereka dilelong kerana gagal melunaskan hutang.

"Jangan terburu-buru membayar wang pendahuluan dan meminjam melebihi kemampuan yang ada, sehingga berakhir dengan kehilangan semua benda," katanya.

Johari berkata, cadangan supaya lesen meminjam diberi kepada pemaju perumahan tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet.

Ditanya tentang pemaju yang mengalu-alukan cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Johari mengajukan soalan berikut.

"Saya ingin tahu, pemaju manakah yang mampu beri pinjaman perumahan?"


Tiada ulasan: