MALAYSIAKINI
Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak berkongsi propaganda atau
menyebar maklumat salah yang boleh merosakkan keyakinan dalam ekonomi
negara, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Menteri di jabatan perdana menteri itu berkata tindakan itu akan meyerupai usaha untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.
"Dengan semua akaun, pelan transformasi kerajaan, kita terbukti
berjaya dengan dasar-dasar yang baik yang kini menunjukkan keputusan
yang kukuh.
"Semua rakyat Malaysia perlu memberi tumpuan kepada kejayaan
tersebut, kerana kita mengemudi dalam keadaan global yang tidak menentu
pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Abdul Rahman, yang juga pengarah komunikasi strategik Barisan
Nasional melahirkan keyakinan dalam keupayaan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak menerajui negara dalam ekonomi yang mencabar.
"Saya tidak mempunyai keraguan bahawa perdana menteri dan kerajaan
ini akan terus memastikan Malaysia terus menikmati pertumbuhan ekonomi,
mengutamakan kesejahteraan rakyat kita dan terus membangunkan Malaysia
ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi," kata Abdul Rahman.
Ahli parlimen Kota Belud berkata demikian sebagai respons kepada satu
siri mesej di media sosial yang menimbulkan kegelisahan di kalangan
sesetengah rakyat Malaysia mengenai keadaan ekonomi negara.
Beliau berkata, kebanyakan mesej itu mengenai hutang semasa kerajaan
Malaysia di mana nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
mencecah 53.4 peratus pada 30 Jun 2016.
Nisbah ini, katanya mengukur berapa banyak hutang kerajaan berbanding KDNK keseluruhan negara.
"Kebanyakan kebimbangan dan tuduhan bahawa nisbah kita hampir 55
peratus had yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan dan jika kita
melanggar had ini, Malaysia akan berada dalam masalah.
"Sesetengah mesej yang lebih tidak bertanggungjawab mendakwa Malaysia
akan bankrap jika kita melepasi paras 55 peratus ini," katanya.
Abdul Rahman berkata KDNK Malaysia telah berkembang dan oleh itu mampu untuk menampung lebih banyak hutang.
Beliau menambah tahap semasa masih tidak setinggi berbanding tempoh
antara 1980 hingga 1985 apabila nisbah meningkat daripada 44 peratus
kepada 103.4 peratus.
"Jika kita tidak muflis pada 103.4 peratus pada tahun 1985, maka bagaimana kita akan menjadi muflis pada 55 peratus," katanya.
Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan kerajaan BN tidak mempunyai niat
untuk melanggar had 55 peratus dan akan terus menguruskan kewangan
dengan penuh tanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan