SEJAK merdeka Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang paling aman di dunia dengan keadaan politiknya yang stabil dan ekonomi berkembang dengan cukup pantas hingga negara kita berjaya muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi baharu di rantau Asia.
Sepanjang yang kita ingat tidak banyak peristiwa-peristiwa yang mampu memporakperandakan berlaku kecuali ketegangan kaum yang berlaku pada Mei 1969. Itupun berjaya ditangani dengan baik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dengan memastikan peristiwa itu tidak merebak dan tidak berpanjangan.
Keamanan dan keharmonian itu diwariskan kepada Allahyarham Tun Hussein Onn yang seterusnya menjadi Perdana Menteri selepas itu dan kemudiannya Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Era Dr. Mahathir menyaksikan kebangkitan Malaysia dalam bidang ekonomi dengan sekitar tahun 1990an ekonomi Malaysia berkembang pada kadar tidak kurang daripada lima peratus setahun hingga membolehkan Wawasan 2020 di mana Malaysia disasarkan menjadi negara maju dibentangkan.
Apa yang dicapai di era Dr. Mahathir itu sebenarnya adalah rentetan daripada usaha-usaha pemimpin sebelum itu terutama Tun Abdul Razak dan Tun Hussein yang telah menyediakan sebuah negara yang aman dengan rakyat bersatu padu hingga membolehkan Dr. Mahathir hanya memberi fokus kepada usaha-usaha pembangunan.
Selain ekonomi, era Dr. Mahathir juga menyaksikan kecelaruan senario politik yang tidak pernah terlihat atau terfikir oleh sesiapa sebelum ini. Pada era Dr. Mahathir rakyat generasi baharu terdedah kepada politik cantas mencantas, politik kebencian, politik fitnah, politik wang malah politik jalanan yang penuh dengan rusuhan dan demonstrasi hingga meresahkan rakyat.
Senario itu bukan melibatkan Dr. Mahathir seorang diri, tetapi berpunca daripada kombinasi Dr. Mahathir dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada permulaannya Anwar bukan siapa-siapa dalam politik. Anwar hanya bekas pemimpin pelajar yang terkenal dengan protes jalanannya. Itu trademark Anwar.
Namun, mungkin terpegun dengan `aura' jalanan Anwar, Dr. Mahathir kutip dan angkat lalu diberikan jawatan dalam UMNO hingga mengketepikan para pejuang-pejuang yang telah sekian lama berhempas pulas dan bertungkus lumus dalam UMNO.
Dr. Mahathir pungut Anwar dari jalanan dan diletakkan dalam dulang emas UMNO. Dalam sekelip mata jadi Ketua Pemuda UMNO. Dalam sekelip mata juga jadi menteri Kabinet. Hingga menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
Laluan untuk Anwar naik jadi pemimpin hebat ini semuanya dirintis oleh Dr. Mahathir. Ramai yang ingat Anwar adalah seorang pemimpin hebat hingga dapat mencapai kejayaan dalam masa yang singkat.
Realitinya, laluan kejayaan Anwar itu sebenarnya dirintis oleh Dr. Mahathir. Dr. Mahathir membuka laluan seluas-luasnya untuk Anwar mendaki tangga kepimpinan dalam UMNO hingga menyebabkan ramai yang tersingkir daripada arus perdana politik UMNO ketika itu.
Bagi mereka yang cukup lama dalam UMNO tentu masih ingat bagaimana Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba disingkir dan dimalukan semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
Semua orang melihat gabungan Mahathir-Anwar ketika itu sebagai gabungan yang cukup hebat dalam sejarah politik UMNO dan Malaysia.
Namun, ibarat kata pepatah ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitu juga dengan hubungan Mahathir-Anwar. Pada 1998 Anwar dipecat dari Kabinet dan dari UMNO. Ketika itu jawatan Anwar adalah Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
Dengan pemecatan itu bermulalah era politik baharu dalam sejarah negara, iaitu politik jalanan yang menakutkan rakyat. Sejak 1998 politik Malaysia tidak lagi boleh dianggap benar-benar stabil. Itulah pertama kali rakyat melihat pihak polis menggempur Masjid Negara dan Masjid Kampung Baru yang menjadi kubu pengikut Anwar berdemonstrasi.
Anwar pula ditahan dan dituduh dengan tuduhan yang tidak pernah terbayang dalam fikiran rakyat negara ini. Ada yang tidak sanggup menyebutnya dan tidak tahu menerangkan kepada anak-anak kecil maksud perkataan-perkataan yang disebut dalam pertuduhan itu. Ini semua berlaku dalam era Dr. Mahathir.
Ketika inilah kita melihat tilam diangkut keluar masuk mahkamah kerana itu dikatakan memiliki bukti perlakuan songang Anwar yang mana akhirnya menyaksikan insiden mata lebam Anwar dan seterusnya Anwar merengkok dalam penjara.
Ketika itu semua orang melihat Anwar sebagai musuh Dr. Mahathir nombor satu. Perkataan-perkataan yang disebutkan untuk melabelkan kejahatan Dr. Mahathir dan Anwar ketika itu cukup dahsyat dengan internet menjadi medan melemparkan fitnah, cacian dan politik kebencian antara kedua-dua pemimpin ini.
Boleh dikatakan sejak pemecatan Anwar oleh Dr. Mahathir pada 1998 hingga kini politik Malaysia sudah tidak pernah aman. Saban minggu ada saja protes jalanan yang menggusarkan rakyat dan menjejaskan golongan peniaga malah mencemarkan imej negara.
Kerana keserakahan politik oleh dua pemimpin ini, telah menyaksikan perbalahan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia hingga membawa bermacam-macam masalah kepada rakyat. Ada yang cedera, terbunuh dan dipenjarakan kerana kedua-dua pemimpin ini.
Semua ini adalah mangsa politik kotor Dr. Mahathir-Anwar kerana akhirnya kedua-dua pemimpin ini kembali bertemu dan berjabat tangan demi kepentingan politik mereka.
Seperti kata Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ini menunjukkan agenda politik demi kepentingan peribadi Dr. Mahathir.
Pertemuan Dr. Mahathir dan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, semasa bekas ketua pembangkang itu memfailkan saman bagi menghentikan operasi Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas alasan ia tidak berperlembagaan menghiris perasaan banyak pihak, terutama pihak yang telah bermatian-matian mempertahankan kedua-dua pemimpin itu ketika mereka bertelagah selama hampir 20 tahun.
Inilah yang dikatakan amalan politik menghalalkan cara oleh Dr. Mahathir dan Anwar. Adakah perbalahan mereka selama ini yang membawa kepada rusuhan jalanan dan kerosakan harta benda malah turut membabitkan kehilangan nyawa hanya satu sandiwara atau lakonan semata-mata antara kedua-dua pemimpin ini?
Demi mencapai matlamat politik, kedua-dua pemimpin ini sanggup menghalalkan apa juga cara tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.
Sebab itu, pertemuan Dr. Mahathir-Anwar itu tidak lebih daripada usaha untuk mencapai matlamat peribadi kedua-duanya. Adakah ini bermakna Dr. Mahathir kembali untuk membantu Anwar menjadi Perdana Menteri?
Jika itu yang dimahukan oleh Dr. Mahathir, kenapa dahulu beliau tidak lantik Anwar jadi Perdana Menteri? Kenapa Anwar dipecat dan dipenjarakan?Jawapannya ialah pada 1998 Anwar mengancam kedudukan Dr. Mahathir dan menggugat kekuasaan politik Dr. Mahathir.
Kini, Dr. Mahathir bersedia untuk membantu Anwar kerana mahu menghancurkan kekuasan politik UMNO yang dipegang oleh Najib.
Cukup hebat sandiwara dan lakonan Mahathir-Anwar ini hingga negara huru hara, rakyat pecah belah dan ekonomi tunggang langgang. Selepas rakyat dibebani dengan segala macam masalah ini kini mereka berjabat tangan dan duduk semeja sebagai rakan politik yang sudah tentu sekali akan menghuru-harakan negara. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan