HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Oktober 2016

JAS perlu teliti prosedur untuk kenalpasti punca pencemaran sungai, serta merta

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) meneliti kembali prosedur operasi standard (SOP) mereka bersabit pengambilan sampel sekiranya berlaku pencemaran sungai.
 
Menurut Presidennya S.Piarapakaran, kelewatan JAS menjadi salah satu punca badan itu gagal mengesan penyebab sesuatu pencemaran itu secara serta-merta.
 
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu memperbaiki penguatkuasaan mereka kerana bila berlaku pencemaran, tindakan mereka untuk sampai ke lokasi pencemaran untuk ambil sampel itu memainkan peranan yang paling penting. 
 
"Sebab orang lain tak boleh ambil sampel, hanya JAS saja boleh. Kalau pencemaran berlaku tapi anda tiba lewat. Tapi lepas tu keluar kenyataan tiada pencemaran (jadi) atas asas apa keputusan itu?," soal beliau. 
 
Beliau berkata demikian kepada Antarapos mengulas mengenai kelemahan penguatkuasaan dalam menentukan punca pencemaran yang kerap kali melanda Sungai Semenyih.
 
Ujarnya jika JAS gagal tiba sejurus selepas laporan dibuat, badan itu mungkin akan gagal mengesan punca pencemaran kerana air sungai sentiasa mengalir.
 
Terdahlu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mempersoalkan kelewatan JAS yang muncul selepas 10 jam dimaklumkan pencemaran tersebut. 
 
Malah Azmin mendakwa pencemaran ini berlaku disebabkan sabotaj daripada pihak tertentu.
 
Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi pada Ahad lalu, yang mengakibatkan empat daerah terjejas, iaitu Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.
 
Penutupan LRA itu, adalah kali kelima dalam tempoh sebulan selepas Sungai Semenyih tercemar disyaki berpunca dari kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.
 
Tambah Piara, selain masalah penguatkuasaan, isu penyelarasan antara kerajaan negeri untuk melindungi sumber air perlu dilakukan, apabila melibatkan persempadanan.
 
"Sekarang pencemaran melibatkan dua negeri, maknanya kita kena rentasi sempadan. Isu ini akan menjadi lebih kompleks kerana pencemaran berpunca dari negeri lain (dan) impaknya di negeri lain. (Maka) ia akan banyak perselisihan faham.  
 
"Mungkin timbalan PM selaku pengerusi majlis sumber air negara dapat memanggil untuk mesyuarat dan memastikan menteri besar dan ketua-ketua menteri mencapai satu kata sepakat bagaimana bila berlaku pencemaran terutamanya yang merentasi sempadan. 
 
"Apakah prosedur dan bagaimana pihak berkuasa kata dalam situasi sekarang, untuk penguatkuasa Selangor boleh memasuki sempadan Negeri Sembilan untuk ambil sampel dan juga lakukan kerja-kerja mereka," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: