Mohd Fadli Ghani
MCA SEDIA TERIMA TAWARAN DIALOG DENGAN PAS DENGAN SYARAT (29 OKTOBER 1984)
PADA
hari ini dalam tahun 1984, PAS telah menerima surat jawapan daripada
MCA tentang tawaran dialog yang dikemukakan oleh PAS kepada parti
Parlimen Cina itu sebelumnya. Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chew Hock
Thye dalam surat jawapannya kepada Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz
Mohd Nakhaie Ahmad telah menyatakan kesediaan bersyarat MCA untuk
berdialog dengan PAS dalam isu-isu politik dan agama di negara ini.
Terdahulu, pada 15 Oktober 1984, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad yang juga
Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat melalui sepucuk surat telah mengajak
MCA berdialog dengan PAS.
Isu dialog PAS-MCA ini timbul ekoran
keputusan Muktamar Tahunan PAS Ke-29 pada 29 April - 1 Mei 1983 yang
mahu PAS mendekati orang bukan Islam secara langsung sebagai strategi
dakwah yang baru. Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa dalam
ucapan dasarnya pada muktamar itu turut menyeru supaya PAS memecahkan
tembok yang menghalangi PAS dari mendekati orang bukan Melayu, khususnya
orang Cina. Pendirian PAS ini mempunyai kaitan yang rapat dengan
kegagalan pendekatan politik melalui BN pada dekad 1970-an dan
keengganan PAS berkerjasama dengan parti cauvenis seperti DAP yang telah
berbangkit semasa Pilihan Raya Umum 1982. Gerakan dakwah secara
langsung dengan orang bukan Islam adalah lebih berkesan bagi PAS,
berbanding pendekatan melalui kerjasama politik sebelumnya.
Atas
asas ini, pada 6 Oktober 1983, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah
memutuskan supaya usaha dibuat untuk mendekati orang bukan Islam,
termasuk mengadakan seminar-seminar berkaitan. Pada 15 Oktober 1984,
Ustaz Nakhie Ahmad telah membuat tawaran bertulis kepada MCA untuk
berdialog dengan PAS, sedangkan dalam satu tindakan politik yang lain,
PAS mencabar Umno berdebat dalam isu-isu negara Islam. Mengambil langkah
berhati-hati terhadap pelawaan PAS ini, Setiausaha Agung Pemuda MCA,
Chew Hock Thye pada 29 Oktober 1984 telah menjawab tawaran dialog
tersebut dengan memberikan persetujuan bersyarat. Antara syarat yang
ditetapkan oleh MCA sebelum berdialog ialah PAS mesti menyatakan sikap
dan pendirian dalam perkara berikut:
I. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular;
II. Kedudukan Malaysia sebagai negara perlbagai kaum;
III. Jaminan pemeliharaan hak dan kepentingan setiap kaum;
IV. Penerusan sistem perlembagaan beraja dan demokrasi berparlimen; dan
V. Keperluan melandaskan perubahan dan pembangunan mengikut iklim Malaysia.
Menjawab
syarat-syarat MCA yang mahu mengetahui terlebih dahulu pendirian PAS
dalam soal tersebut, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad pada 10 November 1984,
menyatakan lebih baik semua persoalan itu dijawab dalam sesi dialog yang
akan diadakan kelak. Pada 6 Disember 1984, Setiausaha Agung Pemuda MCA
dalam jawapan balasnya bertegas bahawa dialog dengan MCA hanya dapat
diadakan jika PAS terlebih dahulu menyatakan pendiriannya terhadap
perkara berbangkit. Walaupun proses mempertemukan kedua-dua parti terus
berlangsung, namun krisis kepemimpinan yang melanda MCA kemudiannya
telah menggagalkan rancangan dialog kedua-dua parti ini. Kegagalan
mendapatkan persetujuan MCA bagi membolehkan PAS berdialog dengan mereka
dalam soal politik dan agama, jelas tidak melemahkan PAS.
Sebaliknya
PAS telah mengambil langkah proaktif pada tahun 1985 apabila ia
memulakan hubungan dengan orang Cina menerusi Chinese Consultative
Council (CCC). Pada 10 Februari 1985, PAS menganjurkan simposium "Islam
dan Persoalan Perpaduan Negara" di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Daripada simposium inilah, PAS membuka langkahnya mendekati orang bukan
Islam sehingga terbentuknya CCC-- HARAKAH DAILY.
Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan