HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

KPWKM kaji cadangan wajibkan OKU dilantik ahli PBT – Azizah

THE MALAYSIAN TIMES


Datuk-Azizah-Mohd-Dun-Timbalan-Menteri-Pembangunan-Wanita-Keluarga-dan-Masyarakat


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji cadangan mewajibkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dilantik sebagai ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Timbalan menteri berkenaan Datuk Azizah Mohd Dun berkata ia bagi memberikan peluang kepada golongan berkenaan membangkitkan pelbagai isu khususnya mengenai keperluan mereka di sesebuah kawasan PBT.

“Perkara ini sebenarnya sudah pun dilaksanakan PBT di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai cadangan melantik golongan OKU dalam PBT pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 389,417 OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga Jun lepas merangkumi 103,671 kanak-kanak bawah 18 tahun dan 285,746 golongan dewasa dan warga emas.

Katanya kementerian turut berharap kemudahan di bangunan-bangunan lama dinaik taraf bagi memudahkan urusan melibatkan warga OKU.

“Kita tiada masalah dengan akses kepada bangunan baharu yang dibina kerana bangunan tersebut perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan. Namun bagi bangunan lama, kita sarankan agar mereka (pemilik bangunan) menaik taraf kemudahan OKU dan juga orang awam yang lain,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: