HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2016

Beza PERKASA, BERSATU macam bumi dengan langit

Alyaa Alhadjri


LIHAT VIDEO DI SINI

Pada pandangan Datuk Ibrahim Ali, pertubuhan PERKASA yang diterajuinya kini menjadi rebutan sesetengah parti politik namun ia bukan sesuatu yang dialu-alukan.

Sebaliknya kata Ibrahim keadaan itu merumitkan perjuangan yang digalasnya demi bangsa, agama dan negara.

Pada masa sama kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, PERKASA akan dimusuhi jika tidak memberikan sokongan kepada parti politik tersebut.

Mengulas mengenai laporan mendakwa PERKASA dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempunyai persamaan matlamat, Ibrahim berkata realitinya tidak begitu walaupun secara kebetulan ada sedikit persamaan pada nama.

Untuk makluman nama penuh organisasi diketuai Ibrahim ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa.

Mengulas laporan Malaysiakini semalam Ibrahim menafikan PERKASA mempunyai matlamat sama dengan BERSATU.

"Kenyataan itu memberi kesan yang amat tak baik, amat mengelirukan," katanya pada sidang media di ibu pejabat pertubuhan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam seorang sumber memberitahu Malaysiakini tidak timbul isu Ibrahim enggan menyertai BERSATU kerana kedua-dua pertubuhan berkenaan didakwa "mempunyai matlamat yang sama."

Seorang pengasas BERSATU yang enggan namanya dipetik berkata, isu penglibatan bekas anggota parlimen Pasir Mas itu bersama parti berkenaan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

"Ibrahim dengan cara dan gerakannya sendiri dan kita pun begitu juga.

"Soal dia tolak atau kami tidak menawarkannya (masuk menyertai parti) tidak timbul. Namun ramai antara kita mempunyai matlamat sama.

"Jadi lebih baik kita fokus kepada matlamat untuk menyelamatkan Malaysia," katanya mengulas laporan pojok Awang Selamat disiarkan akhbar Mingguan Malaysia.

Menurut Ibrahim orang yang mengeluarkan kenyataan itu sepatutnya tidak takut untuk membenarkan namanya dipetik kerana ia tidak membabitkan isu besar seperti skandal wang ringgit.

Menafikan kenyataan itu Ibrahim berkata PERKASA adalah entiti yang berlainan dan membawa perjuangan yang sudah diketahui ramai.

"Memang awalnya saya jangka BERSATU seakan-akan PERKASA, cuma (bezanya) mereka parti politik (manakala) PERKASA sebuah pertubuhan bukan kerjaaan.

"Bagaimanapun apabila BERSATU ditubuhkan dan awal-awal lagi isytihar sokong DAP, maka sekali gus PERKASA dan BERSATU berbeza bagai bumi dengan langit," katanya.

Pendirian itu kata Ibrahim menunjukkan BERSATU menyokong segala dasar reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan.

Katanya ada banyak perbezaan perjuangan antara kedua-dua pertubuhan berkenaan.

"Mereka memperjuangkan need based policy dan kesamarataan dalam perkara yang kita tahu masyarakat pribumi banyak ketinggalan.

"Contohnya mengenai pembahagian ekonomi, isu agama, pluralisme," katanya.

Tiada ulasan: