Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
KUALA LUMPUR: Tindakan semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan
seorang wakil PAS keluar Dewan Rakyat ketika sesi pembentangan Bajet
2017, Jumaat lalu kononnya disebabkan provokasi oleh Datuk Seri Najib
Razak.
Demikian alasan diberi oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang
ketika Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
menyatakan beliau sudah menghidu tindakan pembangkang itu sedari awal.
Bagaimanapun apabila diminta mengulas kenyataan Pandikar Amin,
Penasihat DAP itu enggan menjawab, meskipun soalan itu diajukan berulang
kali.
"Saya tak tahu, apa yang rancang?
"Ini kerana provokasi oleh PM. Apa yang dikatakan tentang rasuah,
kleptokrasi dan pemberita mesti menyampaikan kemarahan dalam isu ini.
Anda orang Malaysia bukan? Anda mahu ditadbir oleh 'PPP', iaitu
pencuri, perompak dan penyamun? Semua orang tidak mahu. Jadi semua ahli
parlimen berang dengan isu ini," katanya ringkas ketika ditemui
pemberita di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Pandikar memaklumkan sudah menghidu rancangan pembangkang
untuk keluar Dewan Rakyat ketika Bajet 2017 sejak sehari sebelum ia
dibentangkan.
"Yang Berhormat fikir telinga saya ini tidak dengar apa-apa? Ada mesej
yang sampai kepada saya daripada teman-teman bahawa esok ada tindakan
keluar dewan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kepada Ahli Parlimen
berhubung larangan perbincangan mengenai tindakan sivil Jabatan
Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana sebab subjudis.
Tindakan keluar dewan itu berlaku selepas Gobind Singh Deo
(DAP-Puchong) membangkitkan sama ada isu DoJ boleh dibincangkan pada
sesi perbahasan.
Pandikar Amin berkata beliau sudah membuat keputusan mengenai perkara
itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa ia tidak boleh
dibincangkan kerana subjudis.
Pembentangan Bajet 2017 oleh Najib pada Jumaat lalu dicemari tindakan
Ahli Parlimen pembangkang yang mempamerkan plakad dan bertindak keluar
dari Dewan Rakyat.
Bagaimanapun tindakan tersebut tidak disertai oleh Ahli Parlimen PAS, kecuali Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal juga turut mengambil
langkah untuk kekal dalam dewan meskipun beliau bukan lagi sebahagian
daripada kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan