HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Oktober 2016

MCA bimbang pihak berkuasa Islam campur tangan hal ehwal bukan Islam

MALAYSIAKINI


Ketua Biro Keharmonian Kaum dan Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, adalah 'bodoh' untuk menamakan burger daging babi itu sebagai 'P Ramly' namun menyatakan kebimbangan mengenai campur tangan pihak berkuasa agama Islam dalam hal ehwal bukan Islam.

Kebimbangan tersebut disuarakan selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata akan menyiasat perkara itu atas alasan nama Melayu yang digunakan boleh 'mengelirukan umat Islam'.

"Kami terkejut apabila Jais dan JHEAINS mendakwa bahawa undang-undang memberikan mereka kuasa yang sama seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menguatkuasakan undang-undang perihal dagangan mana-mana premis iaitu serbuan ke atas mana-mana premis.

"Bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri adalah terhad kepada orang Islam sahaja dan tidak boleh campur tangan dalam hak-hak Perlembagaan serta amalan orang bukan Islam," ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Ti menambah, beliau bimbang penglibatan Jais dan JHEANS boleh membawa kepada berulangnya kejadian pada 2014 ketika Jais menyerbu Persatuan Bible Malaysia dan merampas Bible dalam bahasa Melayu dan Iban.

Dalam kejadian burger daging babi, jelas Ti, tindakan sedemikian adalah tidak sensitif tetapi menyatakan bahawa pihak berkenaan telah meminta maaf dan mengumumkan penukaran nama.

Tiada ulasan: