HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Oktober 2016

Jangka hayat penduduk Malaysia meningkat 74.7 tahun

 
 


Jangka hayat penduduk Malaysia meningkat kepada 74.7 tahun pada tahun ini berbanding 72.2 tahun pada tahun 2000, menurut Jabatan Perangkaan.

Pada tahun 2016, bayi lelaki yang baharu lahir boleh hidup sehingga usia 72.6 tahun manakala bayi perempuan pula 77.2 tahun.

Jangka hayat lelaki juga meningkat sebanyak 0.7 tahun daripada 71.9 tahun pada tahun 2010, sementara jangka hayat wanita pula bertambah 0.6 tahun daripada 76.6 tahun pada tempoh yang sama.

Jurang jangka hayat antara lelaki dan wanita dalam lingkungan 4.6 tahun ke 4.7 tahun dalam tempoh 2010 sehingga 2016.

Jabatan Perangkaan berkata, jangka hayat pada usia 15 tahun bagi lelaki adalah 58.4 tahun pada tahun 2016 dan bagi wanita 63.0 tahun.

Ini bermakna jika seorang lelaki itu berusia 15 tahun, ia boleh menjangkakan untuk hidup sehingga usia 73.4 tahun dan wanita pula 78 tahun.

Jurang antara jangka hayat wanita dan lelaki pada usia 15 tahun adalah 4.6 tahun.

Perbezaan jangka hayat lelaki dan wanita pada usia 15 tahun kekal baik sejak beberapa tahun dengan kira-kira 4.5 tahun dan 4.6 tahun.

Kelebihan jangka hayat pada usia 15 tahun sepanjang tempoh 2010-2016 adalah 0.6 tahun bagi lelaki dan 0.7 tahun untuk wanita.

Seorang lelaki berusia 65 tahun mempunyai jangka hayat 14.9 tahun pada 2016 dan wanita pula 16.9 tahun.

Ini bermakna seorang lelaki berumur 65 boleh mengharapkan untuk hidup sehingga usia 79.9 tahun dan wanita dijangka hidup sehingga usia tua 81.9 tahun.

Dalam tempoh 2010-2016, jurang antara jangka hayat lelaki dan perempuan pada usia 65 tahun berlegar sekitar 1.8 hingga 2.0 tahun, dengan wanita dijangka hidup lebih lama daripada lelaki secara purata pada zaman ini.

Dalam pada itu, semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan jangka hayat ketika lahir bagi tempoh 2010-2016.

Etnik dengan jangka hayat tertinggi di Malaysia ialah Cina dengan 77.3 tahun, diikuti oleh Bumiputera (73.6 tahun) dan India (71.8 tahun).

Jangka hayat tertinggi ialah Cina dengan 75.0 tahun (lelaki) dan 79.9 tahun (perempuan).

Jangka hayat terendah bagi kategori jantina kaum India ialah 67.8 tahun untuk lelaki dan 76.0 tahun bagi perempuan.

Kaum Cina mencatatkan kenaikan tertinggi jangka hayat sebanyak 0.6 tahun (lelaki) dan 0.8 tahun (wanita) bagi tempoh 2010-2016.

Sebaliknya, kaum India mencatatkan peningkatan yang paling rendah dalam jangka hayat dengan 0.2 tahun (lelaki) dan 0.3 tahun (wanita) bagi tempoh yang sama. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: