HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Oktober 2016

Berapa pemimpin BN dapat sehingga sanggup buat bodoh tentang skandal 1MDB?

lim kit siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Mengapa anggota dan bekas anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kini berpaling tadah dan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal kewangan terbesar negara melibatkan 1MDB terus diserang?

Adakah kerana mereka yang menyerang itu telah menerima jutaan ringgit dana daripada akaun peribadi milik Menteri Kewangan berkenaan, sehingga sanggup ‘buat bodoh’ terhadap skandal yang telah memalitkan dan memalukan nama Malaysia sebagai ‘kleptrokasi global’?

Demikian persoalan demi persoalan yang dilontarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang kesal dengan sikap sesetengah anggota Parlimen BN yang kononnya mengaku mempunyai integriti dan prinsip sedangkan terus berdiam diri berhubung skandal syarikat milik negara itu.

Beliau merujuk kepada serangan yang dibuat Pengerusi Ahli Majlis Parlimen BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad terhadap dua pemimpin yang lantang membangkitkan isu berkenaan di dalam sidang mesyuarat Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini.

Pun begitu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Shahrir sebaliknya perlu memberi pujian ke atas tindakan mantan menteri kabinet, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Shafie Apdal yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap skandal 1MDB.

Malah, menurut Kit Siang, Shahrir yang pernah menjawat jawatan dalam kabinet Najib perlu bertanya kepada dirinya sendiri mengapa sehingga kini beliau (Shahrir) tidak mengikut jejak langkah dua pemimpin berkenaan yang berhenti membisu mengenai skandal terbabit.

“Adakah kerana Shahrir mendapat manfaat daripada skandal 1MDB? – kerana dia sendiri telah mengakui bahawa telah menerima RM1 juta daripada RM2.6 bilion dalam akaun Najib untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-13!” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Husni yang merupakan mantan Menteri Kewangan Kedua yang juga jurucakap 1MDB pada Isnin lepas buat pertama kali dalam sejarah tujuh tahun sebagai menteri kabinet telah membahaskan secara kritikal isu 1MDB di Parlimen.

Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan bahawa skandal berkenaan akan terus menghantui BN pada masa yang akan datang justeru mahu kerajaan mempertimbangkan kesan negatif yang terpaksa ditanggung akibat daripada pengurusan tidak efektif terhadap isu terbabit.

Sehari kemudian, Shafie yang juga mantan Naib Pengerusi UMNO pula membangkitkan mengenai peluang pekerjaan yang telah dijana 1MDB yang dilihatnya seolah-olah menggajikan seorang sahaja iaitu Ketua Pegawai Eksekutif terkini syarikat itu, Arul Kanda.

Bagaimanapun, suara lantang kedua-dua pemimpin itu tidak disenangi Shahrir yang menganggap mereka sebagai tidak berprinsip.

Sharir pernah didakwa menerima RM1 juta daripada Najib bagi tujuan kempen pilihan raya, namun menafikannya.

Beliau bagaimanapun mengubah kenyataannya itu dan mengaku telah menerima dana tersebut bersama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang menerima RM2 juta daripada individu yang sama.  – Roketkini.com


Tiada ulasan: