HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Oktober 2016

Siapa sebenarnya tersasar? - Najib

 
 
Najib Razak
Najib Razak


Siapakah yang sebenarnya tersasar daripada perjuangan?

Itu persoalan dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam blognya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab tindakan seorang bekas pemimpin lama yang menghasut rakyat dan menuduh dirinya dengan perkara yang sama pemimpin lama itu terima semasa memegang teraju kerajaan.

Tanpa menyebut nama, individu yang dimaksudkan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Biarlah apa mereka kata, saya dan Jemaah Menteri akan terus komited dalam perjuangan kami memartabatkan agama, bangsa dan negara," katanya lagi.

Terdahulu, Najib memberitahu, sepanjang 40 tahun perkhidmatannya, beliau ada perjuangannya tersendiri memajukan agama, bangsa dan negara.

"Namun, sejak akhir-akhir ini, ada seorang pemimpin lama mula menghasut rakyat, mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduh saya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa beliau berkuasa.

"Beliau menuduh perjuangan parti saya sudah lari daripada perjuangan beliau dahulu sebagai alasan untuk menarik orang masuk ke dalam parti beliau dan memecahbelahkan orang Melayu. Memang benar perjuangan dulu dan sekarang berbeza. Dulu beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara," katanya.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, apakah usaha kerajaan membina infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, RAPID Pengerang, kota Iskandar untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukan satu perjuangan?

"Apakah penyediaan bantuan kerajaan seperti TERAJU, TEKUN, bantuan-bantuan 1Malaysia, PR1MA, e-Kasih, UTC, RTC untuk kemudahan rakyat bukan satu perjuangan?

"Apakah usaha memajukan sukan sehingga mencapai keputusan paling cemerlang dalam sejarah bukan satu perjuangan?

Menurutnya, pemimpin lama itu sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan, sampai sanggup bersekongkol dengan parti cauvinis yang pemimpinnya sudah didakwa melakukan rasuah.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: