IPOH: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar di Stesen KTM Ipoh masih belum beroperasi setakat pagi tadi.
Memetik laporan BH Online, stesen berkenaan sepatutnya beroperasi
seawal perjalanan pertama jam 5 pagi tadi, masih tergendala susulan
kejadian kereta api kargo tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah sejak
Jumaat lalu.
Penumpang ke arah selatan masih perlu menaiki bas transit dari stesen itu ke Kampar.
Papan tanda di stesen KTM Ipoh memaklumkan perjalanan tren masih
tergendala dan KTMB memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan
dialami.
Difahamkan, setakat ini hanya perkhidmatan ETS bagi laluan Ipoh ke
utara dibuka kepada penumpang berikutan perjalanan berkenaan tidak
membabitkan kawasan insiden.
Semalam, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi
Ahmad, berkata kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir dan
terbalik sudah lebih 70 peratus siap dilakukan setakat 5 petang.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu, kereta api kargo
dengan dua lokomotif dan 40 gerabak tergelincir serta terbalik di
Kampung Bakap, menyebabkan ribuan penumpang ETS terjejas akibat laluan
terpaksa ditutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan